TANGKAP: Dua nelayan warga asing ditahan kerana tangkap ikan di kawasan larangan.
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tahan bot pukat tunda selepas disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari tiga batu nautika dari daratan, baru-baru ini.
Bot nelayan ditahan bersama dua individu yang sedang leka menjalankan aktiviti menarik pukat di kedudukan 2.1 batu nautika timur Tanjung Tagumal Laut, di sini, pada jam 12.45 tengah malam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, kejayaan itu adalah hasil Op Pluto Timur/Op Tiris yang dijalankan sebelum ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan oleh dua individu warga asing masing-masing berusia lingkungan 40 tahun.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati kedua-dua individu terbabit memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Bot bersama kru seterusnya ditahan dan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menarik pukat di bawah tiga batu nautika dari pantai dan Akta Imigresen 1959/1963 disyaki memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Sementara itu, katanya Zon Maritim Kudat menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia menangani kegiatan jenayah dan kesalahan di laut.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut ke Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 dan talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Boreno Online