LELAKI WARGA ASING MILIKI SYABU SEBERAT 100.59 GRAM DITAHAN

RAMPAS: Polis rampas semua dadah jenis syabu berkenaan yang disyaki milik suspek.

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas didapati membawa dadah jenis syabu seberat 100.59 gram dalam satu serbuan di Batu 1 Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang itu, suspek berusia 21 tahun ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerusi Op Tapis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di lokasi berkenaan, sebelum serbuan dijalankan.

Katanya, hasil pemerhatian, seorang lelaki menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan berhenti di belakang sebuah stesen minyak di kawasan berkenaan.

“Pasukan serbuan menahan dan memperkenalkan diri sebagai polis, namun lelaki terbabit bertindak agresif serta cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal, sebelum berlaku pergelutan.

“Lelaki terbabit juga telah dilihat mencampakkan sesuatu dari tangan kanannya tidak jauh dari kawasan pergelutan dengan pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas barang yang dicampak itu menemukan dua paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 100.59 gram.

“Suspek terbabit terus ditangkap dan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau, manakala dadah yang dianggarkan bernilai RM10,100 itu turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Semakan mendapati suspek terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing suspek juga negatif,” katanya.

Jasmin berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak polis sedang berusaha mengesan rangkaian pengedaran dadah ini bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber:  Utusan Boreno Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …