Peta menunjukkan kawasan Taman Marin Tun Mustapha di utara Sabah.
KOTA KINABALU: Tiada sebarang kelulusan dikeluarkan Taman-Taman Sabah bagi aktiviti cari gali minyak di kawasan Taman Marin Tun Mustapha, di Kudat.
Menerusi satu kenyataan, di sini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata sebarang aktiviti dalam kawasan perlindungan yang diwartakan Kerajaan Negeri perlu mendapat kelulusan sebelum boleh dimulakan.
“Sehingga kini, pihak berkuasa bagi Taman Marin Tun Mustapha yang telah diwartakan sebagai Taman di bawah Enakmen Taman-Taman 1984 pada 2016 belum menerima sebarang permohonan atau memberi kelulusan berkaitan aktiviti cari gali minyak dan gas di dalam kawasan Taman Marin Tun Mustapha.
“Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) melalui Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah bertanggungjawab memastikan ekosistem hidupan marin di dalam kawasan perlindungan terpelihara sepenuhnya selaras dengan Enakmen Taman-Taman 1984 dan undang-undang negeri yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, KePKAS dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) juga sudah mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bahawa sehingga hari ini tiada sebarang laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) dikemukakan berhubung aktiviti carigali minyak di Kudat.
Sebelum ini, syarikat milik kerajaan negeri, SMJ Energy Sdn Bhd menafikan terbabit dalam sebarang penerokaan minyak dan gas di taman laut yang dilindungi di Sabah.
Menerusi satu kenyataan sebelum ini, syarikat itu menjelaskan bahawa pada masa ini ia tidak mempunyai pegangan ekuiti dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di lokasi carigali yang dimaksudkan.
Katanya, ia juga bukan pihak dalam perjanjian untuk menjalankan aktiviti minyak dan gas di Blok SB-403 itu, iaitu kawasan penerokaan minyak luar pesisir di utara Sabah yang meliputi kira-kira 10,256 kilometer persegi.
Sebelum itu, badan pemerhati alam sekitar, RimbaWatch menggesa kerajaan Sabah tidak meluluskan sebarang aktiviti penerokaan minyak dan gas dalam Blok SB-403 itu yang terletak dalam Taman Marin Tun Mustapha.
Badan itu berkata, taman berkenaan disenaraikan sebagai kawasan perlindungan marin Kategori VI oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) yang hanya membenarkan aktiviti berimpak rendah.
Jelas kumpulan itu, aktiviti minyak dan gas berisiko merosakkan persekitaran marin taman itu, termasuk risiko kepada 45,000 hektar terumbu, 17,000 hektar hutan bakau dan lebih 180 spesies yang terdedah dan terancam.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: INFO X