FOKUS TIGA ASPEK KRITIKAL GILAP BAKAT, POTENSI MAHASISWA BAHARU

SESI akademik 2024/2025 universiti awam (UA) bermula dengan kemasukan pelajar baharu peringkat sarjana muda yang mendaftar di seluruh negara. Wajah ceria dan kegembiraan terpancar apabila dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Kejayaan ke universiti diiringi doa dan harapan agar mereka dapat belajar bersungguh hingga mampu mengubah nasib dan masa depan keluarga. Setiap kali kemasukan pelajar baharu ke institusi pendidikan tinggi (IPT), tiga persoalan utama sering diperbincangkan, iaitu akses, ekuiti dan kualiti. Keupayaan kita memahami dan menguruskan ketiga-tiga aspek kritikal ini akan dapat memastikan usaha membangun bakat dan potensi mahasiswa dijayakan sebaik mungkin.

Pertama, soal akses. Seramai 71,290 daripada 105,424 permohonan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian di UA pada sesi akademik ini. Justeru, kita mesti memastikan mereka mendapat tawaran dapat mendaftar tanpa sebarang masalah. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa cakna memastikan tidak ada sesiapa mahasiswa baharu tercicir dan menolak tawaran hanya disebabkan faktor kewangan. Menteri Pendidikan Tinggi membantu melalui pelbagai bantuan kewangan yang disediakan sama ada oleh universiti atau agensi berwajib. Melihat usaha ini, tidak ada alasan lagi kepada pelajar kurang berkemampuan untuk mendaftar pengajian ke IPT. Yang penting, mereka perlu membuang rasa malu memohon bantuan dan sentiasa mencari maklumat mengenai bantuan disediakan KPT dan universiti.

Kedua, soal ekuiti merujuk kepada kesaksamaan dan inklusiviti dalam konteks menyambung pengajian ke IPT yang perlu ditangani dengan baik agar tiada segmen dalam masyarakat tercicir dan ketinggalan. Contohnya, pelajar Orang Asli menyambung pengajian ke IPT diberikan jaminan tempat penginapan sepanjang pengajian.

Ketiga, soal kualiti merujuk kepada bagaimana mahasiswa baharu dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang dan dapat dipupuk menjadi siswazah unggul dan berdaya saing. Bagaimanakah mahasiswa ini dapat menguruskan kedewasaan menjadi manusia berketrampilan tinggi. Di sini pentingnya minda mahasiswa baharu dipasakkan pemikiran dan perspektif tepat bahawa di universiti bukanlah hanya mengejar kecemerlangan akademik tetapi meraih sebanyak mungkin pengalaman kehidupan kampus melalui pelbagai aktiviti kokurikulum dan pembangunan pelajar. Justeru, sebaik sahaja pelajar baharu mendaftar pengajian, mereka akan diperkenalkan dengan agenda pemerkasaan mahasiswa, yang banyak memberi kebebasan dan tanggungjawab.

Hakikatnya, pendidikan tinggi adalah pelaburan penting negara menjana bakat dengan universiti bukanlah persekolahan tinggi, sebaliknya menara ilmu menyaksikan pengetahuan dicipta melalui penyelidikan, disampaikan melalui pengajaran dan dipindahkan melalui pemindahan ilmu.

Sumber Infografik: Universiti Malaya

Artikel/Berita Terkini

MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF

Ayer Keroh – Melaka bersedia menjadi pusat pemindahan teknologi Jerman bagi rantau Asia Tenggara menerusi pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut