Kerajaan Negeri Sembilan memberikan tempoh sehingga 31 Disember ini kepada 47 pengusaha resort dan chalet di negeri ini yang dikesan berisiko supaya mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J Arul Kumar, sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan penutupan atau sitaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap premis mereka akan dilaksanakan.
Daripada 47 premis itu, 40 unit terletak di Seremban, empat di Jelebu manakala bakinya di Rembau dengan kebanyakan lokasi adalah di lereng bukit. Pihaknya sudah melakukan pemutihan sejak 18 Januari tahun lepas, tapi majoriti mereka masih enggan dan kali ini mereka perlu lebih tegas kerana sudah memberi mereka cukup masa. Pihaknya juga bercadang untuk mengumumkan senarai nama premis itu bagi memastikan orang awam tahu resort atau chalet mana yang tiada CCC.
Mengikut rekod PBT, daripada 47 unit itu, hanya 12 pengusaha hadir apabila dijemput untuk berbincang dan diberi khidmat nasihat dengan bakinya tidak memberikan respon, tetapi di platform tempahan penginapan dalam talian seperti booking.com, mereka masih beroperasi.
Mulai 1 Januari tahun depan, Jabatan Kerja Raya negeri dikehendaki membantu setiap PBT untuk membuat penilaian dan laporan status keselamatan ke atas premis yang dibina tanpa CCC. Ditanya megenai alasan kebanyakan premis berkenaan tidak mendapatkan KM dan CCC, menurutnya ia berkemungkinan kerana status tanah yang kebanyakannya tanah pertanian dan tiada sesiapa mahu mengesahkan bangunan itu selamat.
Justeru, menerusi program pemutihan ini, isu ketidaksungguhan pengusaha untuk memohon KM dan CCC daripada PBT dapat diatasi demi keselamatan orang awam terutamanya pengunjung yang menginap. Secara tidak langsung, masalah lain seperti struktur pembinaan premis yang tidak mematuhi piawaian, ketidakcukupan kemudahan asas dan infrastruktur serta kemudahan sokongan lain termasuk pengurusan sampah dapat ditangani.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat premis lain yang tidak mempunyai kelulusan KM dan CCC beroperasi di negeri ini dan pemantauan berterusan sedang dilaksanakan pihaknya. Pihaknya juga tidak mahu apabila terjadi sesuatu baru hendak mengambil tindakan, memang kita galakkan lebih banyak resort atau chalet untuk menarik lebih ramai pelancong, namun perlu ada tanggungjawab dalam memastikan premis itu selamat dan mematuhi syarat ditetapkan.

Sumber: Sinar Harian



