Merlimau 2 September – Penganjuran pelbagai program peringkat negeri di luar kawasan pentadbiran atau di luar bandar memberi peluang pemimpin untuk mendekati masyarakat setempat.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata inisiatif itu dilihat mendapat maklum balas positif masyarakat tempatan.
“Melaka adalah negeri pelancongan, mempunyai rakyat yang berbilang kaum, majmuk, setiap kali Kerajaan Negeri laksanakan program di kawasan luar bandar pasti ramai yang hadir memberi tanda sokongan tanpa mengenal bangsa dan agama.
“Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga mahukan pemimpin negeri dekat dengan rakyat, jadi pelbagai idea dan gagasan daripada beliau untuk laksanakan pelbagai program di kawasan luar bandar.
“Kita di peringkat kepimpinan pentadbiran negeri akan lebih kenal tempat, lokaliti dan masyarakat, sekali gus masyarakat juga kenal siapa pemimpin mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata penganjuran pelbagai program di kawasan luar bandar merupakan satu usaha proaktif.
“Pada saya, seruan Ketua Menteri wajar dan tepat kerana bukan sahaja orang awam mendapat manfaat, malahan dapat membuka banyak ruang dan peluang dalam membantu merancakkan ekonomi setempat.
“Golongan peniaga, usahawan luar bandar juga mendapat manfaat,” katanya.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)