TELITI 3 SYARAT LANTIK KONTRAKTOR ELAK PROJEK MEGA TERKONTANG-KANTING

Isu projek ‘sakit’ atau lewat siap bukan masalah asing dalam sektor pembinaan termasuk membabitkan projek kerajaan. Beberapa faktor menjadi penyumbang antaranya kenaikan harga bahan binaan menyebabkan kos meningkat, selain cuaca tidak menentu serta sikap kontraktor sendiri.

Apa masalah jika projek lewat atau sakit? Secara kasar, dua kesan boleh dilihat. Selain risiko kos meningkat sehingga bajet tambahan perlu disuntik untuk menyelamatkan projek, kegagalan menyiapkan projek menyebabkan harapan rakyat menikmati kemudahan dan hasil limpahan nikmat pembangunan tertunda.

Awal bulan ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di satu majlis di Kota Kinabalu menegur status projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah disifatkan masih terkontang-kanting berbanding di Sarawak sudah hampir siap.

Selain isu kontraktor, Perdana Menteri berkata antara punca masalah projek mega menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Brunei dan Kalimantan di Indonesia itu disebabkan campur tangan keputusan politik.

Apa dinyatakan Perdana Menteri itu selari jawapan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Jun lalu, yang mana dua faktor utama dikenal pasti mengapa projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah lebih lambat berbanding di Sarawak. Beliau membangkitkan mengenai perebutan dalam kalangan kontraktor untuk mendapatkan tender sebagai antara satu punca.

Dalam hal ini, amalan berebut tender tidak salah selagi bersaing secara adil. Persaingan semakin kuat apabila bilangan kontraktornya ramai, namun kontrak sedikit.

Namun, apa berlaku di Sabah sehingga menyebabkan pembinaan Fasa 1A Lebuhraya Pan Borneo berdepan masalah, sekali gus menunda kehadiran nikmat dan kemudahan ingin dibawa kerajaan untuk rakyat, tidak sepatutnya berlaku.

Akhirnya, proses lantikan kontraktor baharu terpaksa dilakukan untuk menyiapkan projek itu. Bukankah ini pembaziran tenaga, masa dan kos? Bagaimana limpahan rahmat melalui projek mega ini hendak sampai kepada rakyat jika pelaksanaannya masih terkontang-kanting?

Hakikatnya, isu melingkari kontraktor bukan hanya berlaku di Sabah tetapi di seluruh negara. Bukan sedikit projek tergendala baik perumahan, infrastruktur awam dan sebagainya. Benar ia boleh dipulihkan, namun persoalan harus ditanya, apa punca sehingga ia tergendala atau sakit? Apakah silapnya di pihak kontraktor?

Namun tidak wajar meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada kontraktor, sebaliknya keputusan dalam memilih syarikat kontraktor untuk melaksanakan projek juga perlu wajar dipersoal.

Miliki pengalaman bersesuaian

Sepatutnya lantikan kontraktor mengambil kira tiga syarat yang mana satu daripadanya mesti mempunyai pengalaman bersesuaian. Sebagai contoh, ada pengalaman pembinaan lebuh raya untuk terbabit projek Lebuhraya Pan Borneo.

Perlu juga dilihat bilangan projek dilaksanakan, jika terlalu banyak projek dalam tangan, risiko kelewatan mungkin berlaku. Akhir sekali kontraktor perlu memiliki kedudukan kewangan kukuh.

Tiga syarat ini bukan hanya terpakai untuk Sabah, tetapi wajar dijadikan panduan dalam semua projek supaya pemilihan syarikat kontraktor tepat, sekali gus mengelak risiko projek sakit. Jika atas kertas sudah dilihat kontraktor tidak layak, mengapa masih ambil risiko memperjudikan nasib projek?

Tidak salah mengutamakan kontraktor tempatan, namun pemilihan biar telus dan bukan atas dasar kroni. Syarikat kontraktor pula perlu buktikan mereka benar-benar layak dan mampu.

Lihat sahaja apa berlaku kepada Pakej Kerja 1 Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sindumin dan Kampung Melalia di Sabah sejauh 28.3 kilometer (km). Ia masih gagal disiapkan meskipun syarikat kontraktor sudah empat kali memohon lanjutan masa.

Lebuhraya Pan Borneo Sabah, secara keseluruhan membabitkan jajaran sejauh 706 km mengandungi 35 pakej kerja dalam Fasa 1 dengan 16 daripadanya iaitu Fasa 1A sudah dimulakan, manakala baki 19 pakej dalam Fasa 1B belum bermula.

Apa pun pujian buat Kementerian Kerja Raya (KKR) menyatakan komitmen untuk memastikan pakej kerja bagi Fasa 1A dikategorikan bermasalah dan sakit di Sabah dipulihkan segera. Komitmen turun padang lebih kerap bagi memantau perjalanan bersama kerajaan negeri selaku pelaksana amat wajar.

Harapan bukan hanya untuk melihat baki 11 pakej 1A disenarai ‘sakit’ itu disiapkan segera, malah aspek pemilihan kontraktor untuk pakej berikutnya benar-benar tepat, supaya tidak menerima nasib sama – ‘sakit’ dan bermasalah.

Perlu diingat, projek Lebuhraya Pan Borneo penting bukan sekadar meningkatkan ketersambungan Sabah dan Sarawak, tetapi signifikan dalam menyokong perkembangan Nusantara di Kalimantan Timur yang bakal menggantikan Jakarta sebagai ibu negara Indonesia dengan jangkaan pembangunan AS$32 bilion (kira-kira RM128 bilion) secara berperingkat bermula 2022 hingga 2045.

Sabah dan Sarawak perlu bersedia khususnya dalam aspek infrastruktur dan jaringan, untuk membantu negeri dan rakyat merebut peluang, sekali gus turut sama meraih limpahan ekonomi serta perdagangan dari Kalimantan.

Nasihat untuk kontraktor, Lebuhraya Pan Borneo hanya satu daripada projek pembangunan dibawa kerajaan dan banyak lagi projek mega bakal menyusul. Sabah dan Sarawak sendiri menerima peruntukan cukup besar sebagai contoh masing-masing RM130 juta dan RM105.9 juta melalui KKR untuk membiayai penyelenggaraan jalan Persekutuan dan negeri.

Lantas, kontraktor tempatan perlu buktikan diri masing-masing benar-benar kompeten dan layak untuk meraih projek yang dibawa ke negeri masing-masing, sekali gus berkongsi nikmat dan hasilnya.

SUMBER: BH

Artikel/Berita Terkini

MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF

Ayer Keroh – Melaka bersedia menjadi pusat pemindahan teknologi Jerman bagi rantau Asia Tenggara menerusi pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut