KUANTAN, 30 OGOS 2024 : Kira-kira 1,200 jemaah muslimin dan muslimat hadir memeriahkan Majlis Bacaan Yassin dan Doa Kesyukuran sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2024 yang berlangsung di Masjid Tanjung Api, Kuantan, malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu ialah wakil YAB Menteri Besar Pahang, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim, Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, YAA Dato’ Haji Abdul Walid Abu Hassan, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain, Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Al-Fadhil Tuan Haji Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah, pegawai-pegawai daerah dan pegawai-pegawai Agama Islam Daerah.
Bacaan Yassin diadakan sebelum azan Maghrib dan telah dipimpin oleh Pegawai Agama Islam Daerah Kuantan, Al-Fadhil Tuan Haji Syarifuddin Mohd Sa’ad.
Selepas solat Maghrib, jemaah turut menunaikan solat sunat hajat sebelum dihidangkan dengan kuliah kemerdekaan yang disampaikan oleh Maulana Johari Muhammad Ali Al-Jenderaki.
Majlis bacaan Yassin ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelajar-pelajar tahfiz dari pelajar tahfiz dari Madrasah Asyraful Madaris Beserah dan Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan, Tanjung Api di Kuantan.
Pada majlis itu juga, YB. Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim turut menitipkan ingatan agar rakyat dapat mempertahankan kemerdekaan yang dimiliki bagi mengekalkan kebebasan yang sudah dimiliki selama 67 tahun dengan berkongsi suasana negara ketika mendapatkan kemerdekaan.
Turut berkembang di Pahang di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Barisan Nasional ialah institusi-institusi pendidikan termasuklah pembelajaran keagamaan sebagai bekalan generasi muda yang akan memimpin negeri pada masa akan datang.
Beliau yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM198,500 kepada agensi-agensi keagamaan di negeri ini untuk digunakan bagi pelaksanaan program keagamaan selain melengkapkan kemudahan-kemudahan yang diperlukan.
Sambutan kemerdekaan tahun ini bertemakan Malaysia Madani : Jiwa Merdeka sebagai mendasari tekad dan komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu padu serta kehidupan aman dan sejahtera.
Sambutan kemerdekaan peringkat Negeri Pahang pada tahun ini akan diadakan di perkarangan Padang MBK 1 berdekatan Masjid Sultan Ahmad 1 di Kuantan dengan disertai 5,000 peserta dari pelbagai agensi seluruh Pahang.
SUMBER: PAHANGMEDIA