KUCHING, 18 OGOS 2024 : Pasukan menembak Pahang melonjak kutipan pingat bagi Kontinjen Pahang apabila berjaya menyumbangkan sebanyak tujuh emas, satu perak, empat gangsa sejak semalam.
Jurulatih menembak, Elina Sotnik berkata, pasukan menembaknya akan terus bersemangat memburu pingat bagi Pahang sekaligus meletakkan kontinjen di tangga teratas.
Menurutnya, kunci kejayaan pasukan adalah rajin, kuat berusaha dan mematuhi arahan jurulatih untuk memastikan kemenangan.
โPasukan menembak sangat gembira kerana banyak memenangi pingat tetapi perlu bekerja keras, semua atlet rajin dan apa yang atlet cuba buat ialah ikut kata jurulatih untuk menang, siapa mahu menang, ikut cakap jurulatih,โ katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah bagi sukan menembak di Lapang Sasar Menembak Petrajaya di Kuching, Sarawak, hari ini.
Elina turut menitipkan kata-kata semangat kepada Kontinjen Pahang agar terus fokus mencapai sasaran pingat bagi mengharumkan nama Pahang.
Hadir sama ialah Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Datoโ Ir Razali Kassim, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), YBrs Tuan Haji Zamri Hassan dan Ahli Jawatankuasa Pengurus MSP, YH. Datoโ Razihan Adzharuddin.
Pasukan menembak Pahang menghantar seramai 22 atlet untuk menyertai sebanyak 12 acara bagi merebut 24 pingat.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI bermula pada 17 Ogos hingga 24 Ogos depan melibatkan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.
SUMBER: PAHANGMEDIA