KOTA KINABALU: Pusat Jantung Negara (PJN) Sabah yang diumumkan Perdana Menteri pada April lalu perlu dilengkapi peralatan canggih termasuk kakitangan mencukupi seperti yang ada di Hospital Jantung Sultan Idris Shah, Serdang, di Selangor.
Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat yang juga EXCO Kesihatan Negeri, Datuk James Ratib, berkata kelengkapan moden serta jumlah kakitangan yang cukup penting bagi memastikan pesakit jantung di Sabah mendapat rawatan berkesan.
“Di Sabah ketika ini berhadapan kekurangan fasiliti dan kakitangan khasnya doktor pakar jantung yang mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pesakit jantung di negeri ini.
“Justeru, diharapkan Kementerian Kesihatan (KKM) khasnya dan Kerajaan Persekutuan menyegerakan penyaluran peruntukan kepada PJN Sabah untuk melengkapkan fasiliti perubatan dan menambah kakitangan agar pesakit jantung dapat diberikan rawatan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas lawatan rasmi ke Hospital Jantung Sultan Idris Shah, Serdang di Selangor, hari ini.
Katanya, pengumuman Perdana Menteri mengenai PJN Sabah itu disambut baik Kerajaan Negeri dan mahu ia dilaksanakan segera kerana kos rawatan jantung bagi seorang pesakit menelan belanja yang tinggi apabila dirujuk ke pakar jantung di Semenanjung.
Dalam masa sama, beliau turut menyarankan agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula gred jawatan doktor pakar yang berkhidmat di Sabah agar selari dengan jawatan yang dipegang bagi mengelak mereka keluar daripada perkhidmatan awam.
“Selaras dengan cabaran kesihatan semasa, gred jawatan bagi doktor pakar di Sabah juga perlu dikaji semula. Saya difahamkan gred jawatan bagi doktor pakar jantung di Sabah masih pada tahap UD56 walhal bebanan tugas yang dijalankan amat berat,” katanya.
Pada April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika lawatan ke Sabah mengumumkan Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2), dijenamakan semula sebagai PJN Sabah bagi memenuhi keperluan rawatan jantung di negeri ini.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM80 juta untuk menarik taraf hospital berkenaan dan menambah tiga orang doktor pakar jantung serta 120 orang tenaga sokongan terlatih.
Dalam lawatan itu, James turut dibawa meninjau beberapa bilik rawatan jantung yang dilengkapi pelbagai peralatan canggih selain mendengar taklimat daripada beberapa doktor pakar Hospital Jantung Sultan Idris Shah, Serdang.
Hadir sama ialah Pengarah Hospital Sultan Idris Shah, Dr Farique Rizal Abdul Hamid; Pengarah Hospital Jantung, Datuk Dr Abdul Kahar Abd Ghapar dan Pegawai Khas Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Petrus Mojuntin.
#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024
Sumber: INFO X