Temasya Tranung Kite yang diadakan di Kuala Berang bermula dari 8 hingga 10 Ogos telah berjaya menarik lebih 15 ribu pengunjung dari seluruh negara. Program ini dianggap sebagai kejayaan besar bagi Hulu Terengganu dan negeri Terengganu secara keseluruhan, dengan sasaran awal 10 ribu pengunjung yang telah melebihi jangkaan.
Pendapatan sebanyak RM700 ribu telah berjaya dijana untuk masyarakat tempatan melalui sewaan, jualan, bayaran persembahan, dan hadiah pertandingan. Kuala Berang telah dipilih sebagai lokasi program tersebut kerana kedudukannya yang strategik, memudahkan akses dari LPT2 serta menawarkan keindahan pesisir sungai dan tempat-tempat menarik seperti Tasik Kenyir.
Program ini dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), dan Persatuan ATMA Seni Budaya Terengganu. Pelbagai acara menarik seperti Kejohanan Gasing Terbuka Asean, Kejohanan Ayam Serama Terbuka, dan Pertandingan Wau telah diadakan sepanjang temasya tersebut.
Penyertaan aktif komuniti tempatan dan penggiat seni dalam acara-acara budaya juga merupakan elemen penting dalam kejayaan program ini. Diharapkan program ini akan terus menjadi platform bagi penggiat seni budaya tempatan, khususnya dari negeri Terengganu, untuk meneruskan kreativiti dan karya-karya mereka.
Program berskala besar seperti ini kali terakhir dianjurkan di negeri Terengganu adalah 10 tahun lalu, dan usaha sedang dilakukan oleh JKKN untuk menjadikannya acara tahunan. Program-program yang bertunjangkan seni budaya akan terus dianjurkan untuk menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026 serta memartabatkan kesenian negeri Terengganu.
Sumber: TRDI