Pada hari ini dalam tahun 1955, Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Parti Perikatan telah membentuk Kabinet Pertama Persekutuan Tanah Melayu. Pembentukan Kabinet itu berikutan kemenangan besar Perikatan dalam Pilihan Raya Persekutuan Tanah Melayu yang telah berlangsung pada 27 Julai 1955, dengan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Pembentukan barisan Kabinet pertama ini terdiri daripada 10 orang Menteri, 2 orang Timbalan Menteri dan 3 orang Penolong Menteri. Anggota Jemaah Kabinet yang dilantik terdiri daripada pemimpin-pemimpin parti yang menaungi dibawah Parti Perikatan iaitu UMNO, MCA dan MIC. Pengumuman rasmi pembentukan anggota Kabinet pertama ini telah dilakukan oleh Sir Donald Mac Gillivary, Pesuruhjaya Tinggi British pada 4 Ogos 1955 di Kingβs House setelah diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Upacara mengangkat sumpah telah diadakan pada 9 Ogos 1955 dengan disaksikan oleh Mr. Prethaser, Ketua Hakim . Sesungguhnya dengan pembentukan Kabinet Pertama Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955, telah merintis kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.
Sumber: Arkib Negara Malaysia