SEMPORNA (6 Jun): Senapang panah atau senapang ikan untuk menangkap ikan di dasar laut atau sungai diklasifikasikan sebagai senjata yang penggunaannya menyalahi undang-undang di negara ini.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Perikanan, Azhar Kassim, ketika mengulas satu video tular yang memaparkan seorang lelaki menangkap ikan menggunakan senapang panah.
Beliau berkata, senapang panah adalah peralatan menyalahi undang-undang dan penggunaannya dilarang kerana tiada lesen dikeluarkan pihak berkuasa sebagai kebenaran menggunakan senjata itu.
“Senapang panah ialah peralatan yang menyalahi undang-undang dan ia dilarang digunakan di mana-mana. Kita tidak mengeluarkan lesen untuk menangkap ikan mennggunakan senapang panah.
“Jika digunakan, ia dianggap menyalahi undang-undang, penangkapan ikan yang tidak dilaporkan dan tidak terkawal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Berdasarkan video yang tular itu dan keterangan disertakan pihak yang memuat naik, perbuatan menembak ikan menggunakan senapang panah itu dipercayai membabitkan sebuah pusat menyelam di Semporna.
Seorang penyelam dikesan menangkap ikan menggunakan senapang panah, dipercayai berlaku di perairan Semporna.
Dalam video itu, lelaki yang memegang senapang panah terbabit turut dilihat menyentuh seekor penyu hijau yang disenaraikan sebagai spesies dilindungi sepenuhnya di bawah pindaan Enakmen Konservasi Hidupan Liar.
Azhar berkata, pihakhya akan mengambil tindakan terhadap kes itu dan akan memberi kesedaran mengenai larangan penggunaan peralatan berkenaan khususnya kepada operator pelancong.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Info X