APAM BALIK 40 TAHUN

Siapa sangka perniagaan apam balik yang diusahakan sepasang suami isteri di Jalan Perpateh bersebelahan sebuah kedai emas di pekan Pilah di sini sudah berusia 40 tahun. Malah ada yang menyifatkan perniagaan apam balik yang diusahakan Almidar Saidalani, 63, dan Irnawati Yahni, 60, sebagai ‘legend’ kerana mampu bertahan sehingga kini. Dengan perniagaan itu jugalah mereka mampu membesarkan empat anak yang kini semuanya sudah berkeluarga dan mempunyai pekerjaan sendiri.

Menurut Almidar, dia mula berniaga apam balik sejak tahun 1984 dan belajar membuatnya daripada beberapa ‘guru’ selama empat tahun. Selepas betul-betul berpuas hati, barulah dia berniaga sendiri dan dari dulu sampai sekarang, di sinilah lokasinya berniaga. Ini juga sumber rezeki utamanya bagi membesarkan empat orang anak yang kini kesemuanya sudah pun berkeluarga.

Hanya anak perempuan tunggal yang ikut jejaknya mencari rezeki dengan berniaga apam balik dan yang lain bekerja dalam bidang berkaitan pemasangan alat pendingin hawa. Jika dahulu sekeping apam balik hanya dijual 80 sen, namun dengan peredaran masa, harga itu terpaksa dinaikkan. Ujarnya, makanan tradisional itu kini dijualnya pada harga antara RM3.50 kepada RM4.50, mengikut perisa dan mampu terjual sehingga 150 keping setiap hari. Harganya naik secara berperingkat dan kali pertama dinaikkan pada tahun 1990-an.

Kalau dulu hanya ada apam balik biasa saja, tapi sekarang ada apam balik coklat dan pulut hitam, malah resipi digunakan sama saja dari dulu sampai sekarang.  Ditanya bagaimana dia mampu bertahan sehingga kini, Almidar berkata, kunci utamanya adalah bersabar dan jangan berputus asa. Dia yakin sekiranya rezeki dicari adalah halal, ia akan dipermudahkan lama-kelamaan. Masa mula-mula berniaga itu memanglah susah dan pelbagai dugaan dilalui, tapi kita jangan putus semangat. Dulu pun bukan dia seorang saja yang menjual apam balik di sini, tapi yang mampu bertahan sehingga kini hanya dia saja dan selagi mampu berniaga, dia akan terus berniaga. Gerai apam baliknya dibuka seawal jam 10 pagi hingga 6 petang, setiap hari melainkan Ahad.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …