SEDARKAN ANAK MUDA BAHAYA IDEOLOGI PENGGANAS DALAM PERMAINAN DI INTERNET

Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) mendedahkan kumpulan pengganas kini menggunakan permainan video dalam talian bagi merekrut generasi muda untuk menyertai pergerakan mereka.

Dilaporkan, trend itu menjadi ancaman terbaharu kepada negara dan dikesan menerusi horizon scanning (analisis horizon) dilaksanakan SEARCCT bagi mengenal pasti potensi ancaman baharu keselamatan negara.

Malangnya, kecenderungan generasi muda menggunakan telefon pintar atau peranti untuk bermain permainan video dalam talian sudah menjadi sinonim dan normal, lantas sukar untuk dipisahkan.

Natijahnya, permainan dalam talian mempromosikan atau menggambarkan aktiviti pengganas boleh membawa pelbagai risiko serta bahaya termasuk menjadi alat merekrut generasi muda cenderung kepada aktiviti pengganas.

Permainan dalam talian yang menggambarkan pengganas dan aktiviti keganasan secara berterusan boleh menjadikan pemain menganggap ia sebagai trend, sekali gus mengurangkan sensitiviti mereka terhadap tindakan ganas dan menganggapnya sebagai perkara biasa atau diterima.

Ia juga mengandungi naratif atau propaganda pengganas dan akhirnya pemain mungkin mula menerima ideologi radikal dan pandangan ekstremis tanpa menyedarinya. Lama-kelamaan ia akan akan mengembangkan tingkah laku agresif dan kekerasan akibat pendedahan berterusan kepada kandungan permainan ganas dan radikal. Ini boleh mempengaruhi cara mereka berinteraksi dengan orang lain dalam kehidupan nyata.

Perkembangan terkini menyaksikan generasi muda yang taasub permainan dalam talian yang menonjolkan keganasan secara grafik boleh menyebabkan mereka kurang empati terhadap penderitaan orang lain, membawa kepada sikap tidak peduli atau kurang belas kasihan terhadap mangsa keganasan dalam dunia nyata.

Pendedahan kepada kandungan permainan mengagungkan keganasan dan pengganas juga mampu mengubah persepsi pemain terhadap moral dan nilai kemanusiaan.

Justeru, penggunaan telefon pintar atau peranti dalam kalangan generasi muda untuk bermain permainan dalam talian berbentuk keganasan serta radikalisme perlu dikawal ibu bapa serta ahli keluarga.

Pada masa sama, ibu bapa perlu menekankan pendidikan serta memberi kefahaman kepada anak terhadap bahaya elemen keganasan dan unsur pengganas dengan mengaitkan peristiwa semasa atau sejarah hitam dilakukan kumpulan pengganas sama ada dalam atau luar negara.

Generasi aktif peranti ini perlu dididik mengenai kesan negatif permainan video yang mempromosi keganasan dan pengganas, serta mengajar mereka mengenali serta menolak ideologi radikal. Jika perlu, ibu bapa menetapkan permainan dalam talian yang boleh dan tidak boleh dimainkan mengikut tahap umur serta kematangan anak.

Anak-anak juga perlu didorong untuk aktif dalam aktiviti positif dan membina seperti bersukan, beriadah dan melakukan kegiatan sosial di samping menerapkan nilai agama serta moral dalam diri mereka.

Kesedaran dan tindakan proaktif ibu bapa, pendidik dan masyarakat penting untuk melindungi generasi muda daripada bahaya mungkin timbul akibat permainan mempromosikan aktiviti keganasan dan radikalisme.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

PENDUDUK BANTAH ‘PROJEK HARAM’ PUSAT PERLINDUNGAN ANJING LIAR

Sebuah pusat perlindungan anjing liar didakwa dibina secara haram oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tanah rizab kerajaan di …
Maklumat Lanjut

PENIAGA RUGI RM677,000 DIPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

Seorang peniaga makanan sejuk beku di Nilai mengalami kerugian lebih RM677,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan atas talian dipercayai …
Maklumat Lanjut

PROGRAM COMMUNITY BASED SECURITY MANAGEMENT (CBSM) BERSAMA IPD JELEBU

3 Julai 2025: Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk melaksanakan program bersama Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah …
Maklumat Lanjut