SINGAPURA: Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengadakan latihan dua hala Eksesais Mencari dan Menyelamat (SAREX) MALSING edisi keenam bermula 7 hingga 15 Mei ini di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.
Menurut Kementerian Pertahanan Singapura dalam satu kenyataan, latihan kali ini membabitkan helikopter H225M RSAF dan EC725 TUDM, bersama kru udara Mencari dan Menyelamat (SAR) serta kru daratan.
Upacara pembukaan latihan di pangkalan udara berkenaan telah dirasmikan secara bersama oleh Pegawai Pemerintah RSAF Skuadron Ke-125, Leftenan Kolonel (LTC) Lim Seng Wee, dan Pegawai Pemerintah TUDM Skuadron Ke-10, Leftenan Kolonel Ahmad Farhan Ahmad, semalam.
Pada upacara berkenaan, Seng Wee berkata, latihan dua hala tahunan itu menyediakan platform penting dan peluang terbaik untuk tentera udara kedua-dua pihak saling bekerjasama, beroperasi serta berlatih bersama dalam operasi menyelamatkan nyawa.
“Kami komited memperbaiki operasi SAR bagi menyelamatkan nyawa melalui kerjasama tetap kami. Ini juga membuktikan hubungan pertahanan yang erat dan kukuh antara kedua-dua negara,” katanya.
Ahmad Farhan pula berkata, latihan dua hala itu mencerminkan tahap profesionalisme, kepercayaan bersama serta kecekapan pasukan yang tinggi antara kedua-dua pihak bagi memaksimumkan keupayaan bersama untuk melaksanakan operasi SAR dengan selamat dan pantas.
Dalam latihan itu, peserta dari kedua-dua negara turut terbabit dalam perbincangan profesional dan merancang operasi SAR berdasarkan senario simulasi nahas udara di luar Pulau Tioman, Malaysia.
Pasukan SAR turut mengadakan pencarian melalui udara dan pemindahan segera mangsa simulasi untuk rawatan perubatan segera, menurut kenyataan itu lagi.
SUMBER: BERNAMA