PKNP KENAL PASTI KAWASAN BERPOTENSI DIBANGUN SEKITAR STESEN ECRL

KUANTAN: Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) sedang mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi dibangunkan di sekitar stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi penduduk setempat dan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib, berkata berdasarkan kepada Pelan Guna Tanah di sekitar stesen ECRL, dua lokasi yang dilihat berpotensi adalah di Kawasan Perindustrian Gebeng, Bentong dan Kompleks Makanan Halal Gambang (Paya Besar).

“Bagi Kawasan Perindustrian Gebeng, PKNP dalam perancangan membangunkan tapak IKS (industri kecil dan sederhana) baharu yang berkonsepkan Park Management bagi memberi peluang kepada pelabur tempatan dan luar bersama-sama merancakkan lagi pertumbuhan di Kawasan Perindustrian Gebeng,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rodzuan Zaaba (BN-Jenderak) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan lagi sektor perindustrian Pahang, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Ketika menjawab soalan tambahan Thomas Su Keong Siong (DAP-Ketari) mengenai perancangan pembangunan untuk daerah Bentong yang merupakan antara stesen ECRL dan berdekatan dengan Kuala Lumpur, Mohamad Nizar berkata Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) akan mengkaji beberapa cadangan pembangunan di daerah itu.

“Kita melihat cadangan pembangunan yang boleh dilakukan dalam radius 20 hingga 30 kilometer di kawasan stesen terbabit dan perkara ini akan dimaklumkan kelak.

“(Buat masa ini), kita telah berjaya menarik minat pelabur luar negara untuk bertapak di Bentong tetapi pada masa sama, kita perlu mengimbangkan dengan keperluan industri tempatan sedia ada,” katanya.

Selain itu, Mohamad Nizar berkata PKNP juga sedang mengenal pasti kawasan industri baharu terutamanya di wilayah Pahang Barat dengan mengambil kira Projek Lingkaran Tengah Utama yang kini dilaksanakan secara berperingkat di samping dapat mewujudkan keseimbangan pembangunan ekonomi di wilayah-wilayah negeri ini.

Kerajaan negeri juga, menurut Mohamad Nizar, telah menetapkan sasaran peningkatan jumlah pelaburan sebanyak lima peratus setiap tahun bagi pelaburan Zon Perindustrian di Gebeng, Pekan, Estet Bentong dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) bagi merancakkan lagi ekonomi negeri ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (PN-Beserah), Mohamad Nizar berkata jumlah pelaburan China ke Malaysia lebih tinggi memandangkan negara itu mempunyai sumber modal yang banyak.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut