KENDERAAN BERAT LEBIH 20 TAN PUNCA PLAT KELULI JAMBATAN BAILEY ROSAK

KUANTAN: Peningkatan jumlah kenderaan berat termasuk melebihi had muatan 20 tan yang melalui Laluan Persekutuan FR 12 Jalan Kuantan-Segamat, Pekan dikenal pasti sebagai punca kerosakan plat keluli jambatan panel keluli bermodular atau Jambatan Bailey di laluan berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Kerja Raya (JKR) menjelaskan mengambil kira aliran trafik semasa yang tinggi, kerja pembaikan kerosakan hanya sesuai dilaksanakan selepas musim perayaan berikutan pembaikan Jambatan Bailey akan membabitkan penutupan keseluruhan jalan di lokasi itu.

“Dalam masa yang sama, JKR Pahang telah memasang lampu solar di sekitar laluan yang telah dikenal pasti sebagai usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

“Untuk makluman, kerajaan telah meluluskan pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan jambatan asal yang telah runtuh pada awal Januari lalu.

“Sehubungan itu, semua pengguna di laluan terbabit dimohon agar bersabar, berhati-hati serta mematuhi had laju yang telah ditetapkan.

“JKR juga memohon agar semua pengguna jalan raya terutama kenderaan berat agar mematuhi had muatan yang telah ditetapkan demi keselamatan dan keselesaan bersama,” menurut kenyataan itu.

JKR mengambil serius ciapan yang dimuatnaik pemegang akaun X @HezeriSamsuri pada 12 April lalu, yang meluahkan kekecewaan berkenaan situasi trafik di Laluan Persekutuan FR 12 terutama ketika melintasi Jambatan Bailey yang mendap di Seksyen 102 semasa musim perayaan Aidilfitri.

Jambatan Bailey di lokasi terbabit dibuka kepada kenderaan ringan tidak melebihi had muatan 20 tan pada 27 Januari lalu yang bertujuan untuk menghubungkan jalan terputus akibat banjir pada awal Januari lalu.

Beberapa hari lalu, tular pengguna jalan raya meluahkan perasaan tidak puas hati berikutan mengambil masa lama untuk tiba di Jambatan Bailey di Lebuhraya Kuantan-Segamat.

Mereka berasa tidak selesa kerana perlu berdepan kesesakan lebih dua hingga tiga jam untuk melepasi jambatan itu termasuk kerosakan yang berlaku di jambatan itu.

Pada 7 Januari lalu, laluan itu ditutup berikutan mendapan tanah dikesan di laluan terbabit sehingga menyebabkan laluan berkenaan berlubang dan hampir putus.

Pada 27 Januari lalu, laluan itu kembali dibuka semula selepas Jambatan Bailey dibuka dua hala kepada kenderaan dengan had muatan dibenarkan tidak melebihi 20 tan dan had kelajuan 30 kilometer sejam (km/j).

Jambatan Bailey jenis Acrow 700XS itu dibina sepanjang 30.48 meter dengan kelebaran 9.3 meter. Ia dilapor akan dikekalkan di tapak berkenaan sehingga penyelesaian jangka panjang diambil.

JKR Pekan menerusi hantaran di Facebook sebelum ini, turut menasihati pengguna berhati-hati ketika melalui laluan terbabit dan sentiasa mematuhi arahan papan tanda yang disediakan.

Sumber: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

#ADDINAHAD: ADIL DALAM MENJALANKAN TANGGUNGJAWAB

Adil dalam Menjalankan TanggungjawabRasulullah SAW bersabda : “Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah SWT di atas mimbar (panggung) …
Maklumat Lanjut

PROJEK PEMBANGUNAN MENGIKUT NEGERI BERDASARKAN BELANJAWAN 2025

Berikut merupakan projek pembangunan mengikut negeri berdasarkan Belanjawan 2025. Sumber: Jabatan Penerangan …
Maklumat Lanjut

ISU PEMBINAAN TEMBOK DI SEMPADAN KELANTAN-THAILAND PERLU DIBINCANG DENGAN MKN

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan bahawa cadangan pembinaan tembok di Sungai Golok yang melibatkan kawasan sempadan Malaysia-Thailand, akan dibawa …
Maklumat Lanjut