142 OBB DIBEBAS DI SABAH DAN LABUAN SEMPENA AIDILFITRI

KOTA KINABALU (4 April): Seramai 142 Orang Bebas Berlesen (OBB) dibebaskan Jabatan Penjara Sabah dan Labuan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Aidilfitri tahun ini.

Ketua Bahagian Kepenjaraan dan Koreksional Penjara Sabah dan Labuan, Roy Martin, berkata jumlah itu membabitkan 61 OBB dari Penjara Pusat Kota Kinabalu, Penjara Wanita Kota Kinabalu (empat), Penjara Tawau (41), Penjara Sandakan (19), Penjara Lahad Datu (10), Pusat Koreksional Labuan (empat) dan Sekolah Henry Gurney Keningau (tiga).

Katanya, pelepasan yang dilaksanakan secara serentak di seluruh institusi Penjara Malaysia sebelum Aidilfitri itu memberi peluang kepada penghuni penjara yang beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga.

“Selain itu ia juga bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan, termasuk dalam kalangan penghuni lain-lain agama,” katanya pada sidang media selepas program PBSL di Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini, hari ini. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang.

Beliau berkata pelbagai pendekatan dijalankan Jabatan Penjara Malaysia yang bertanggungjawab memperkasa program pemulihan dalam komuniti bagi melahirkan penghuni berdaya saing sekembalinya ke pangkuan masyarakat sama ada sebagai suami, isteri atau anak.

Jelasnya, program itu juga sangat berkesan menerusi pencapaian kadar residivis atau pengulangan perlakuan jenayah dalam kalangan penghuni penjara pada tahap 17.6 peratus berbanding 18.6 peratus pada 2022.

“Kesesakan di penjara berjaya dikurangkan daripada 13.7 peratus pada tahun 2022 kepada 7.8 peratus pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, PBSL dilaksanakan secara bersyarat membabitkan banduan yang menjalani hukuman bagi tempoh kurang setahun selain sudah menjalani sebahagian hukuman penjara atau sekurang-kurangnya mempunyai baki hukuman selama dua bulan.

Katanya, banduan yang dibenarkan menjalani PBSL juga membabitkan penghuni yang berjaya menjalani fasa pertama Program Pembangunan Insan di penjara selain mendapat pengesahan dan persetujuan keluarga, badan kebajikan serta majikan yang menyediakan tempat tinggal dan pekerjaan semasa banduan di luar penjara.

“Kita harapkan banduan yang diberikan pelaksanaan hukuman dalam komuniti ini mampu memanfaatkan sepenuhnya peluang ini.

“Masyarakat termasuk ahli keluarga juga diharap memberikan sokongan padu dan memberikan peluang kedua kepada banduan sama seperti pelaksanaan sistem Parol dan Perintah Kehadiran Wajib sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Jannie berkata, program itu patut disokong semua pihak terutama masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi peluang kedua kepada OBB menjalani kehidupan seterusnya.

“Dengan pembebasan awal ini membolehkan OBB pulang meraikan Hari Raya bersama keluarga selain merapatkan hubungan silaturrahim yang terjejas sebelum ini.

“Saya juga mengalu-alukan lebih ramai majikan untuk menerima OBB ini bagi membolehkan mereka mendapat masa depan yang lebih cerah sekembalinya di dalam masyarakat,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Info X

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …