LEBIH 70 PERATUS WANITA DI NEGARA INI BELUM JALANI UJIAN MAMOGRAM

Kuala Pilah: Seramai 505,465 wanita di negara ini menjalani ujian program subsidi mamogram dan perkhidmatan saringan kanser serviks (HPV DNA) sejak 2019 hingga 31 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, program kendalian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu penting untuk wanita bagi mengetahui tahap kesihatan mereka.

Katanya, selain kanser ovari dan payudara, kanser serviks menjadi ancaman khususnya kepada wanita muda di negara ini.

“Kanser serviks atau pangkal rahim adalah kanser tertinggi dalam kalangan wanita di negara ini, namun peratusan wanita yang menjalani ujian pap smear bagi tujuan pengesanan awal penyakit itu masih rendah.

“Kerajaan menawarkan perkhidmatan HPV DNA secara percuma menerusi program subsidi mamogram.

“Sejak diperkenalkan, seramai 505,465 wanita di negara ini telah menerima manfaat daripada program berkenaan termasuk 32,604 orang daripadanya membabitkan wanita di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia (JKKM) dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) di Kampung Orang Asli Langkap, Tanjong Ipoh, di sini, semalam.

Siti Zailah berkata, wanita yang bertaraf penduduk tetap negara ini berusia 40 hingga 70 tahun layak menerima subsidi ujian mamogram secara percuma dengan pendapatan isi rumah bawah RM10,000 sebulan.

Menurutnya, kriteria lain adalah wanita berumur 35 hingga 39 tahun dengan sejarah keluarga mengidap kanser payudara yang mendapat pengesahan doktor.

Katanya, terdapat lebih 70 peratus wanita di negara ini yang belum menjalani ujian mamogram bagi pengesanan awal kanser payudara sedangkan nisbah menunjukkan 34.1 wanita bagi setiap 100,000 wanita berdepan dengan penyakit berkenaan.

“Saya berharap wanita di negara ini agar menyahut seruan kerajaan untuk segera membuat saringan awal melalui pelbagai program saringan kesihatan yang disediakan,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro

Artikel/Berita Terkini

MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF

Ayer Keroh – Melaka bersedia menjadi pusat pemindahan teknologi Jerman bagi rantau Asia Tenggara menerusi pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut