PROGRAM GOTONG ROYONG KE ARAH PEMANTAPAN COMMUNITY BASED SECURITY MANAGEMENT (CBSM)

Gotong-royong adalah salah satu budaya rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu yang semakin ditelan zaman. Aktiviti gotong-royong sebenarnya mampu mewujudkan persefahaman dalam sesebuah komuniti dan masyarakat berbilang bangsa melalui semangat bantu-membantu dan bekerjasama. Hal ini dilihat selari dengan dapatan kajian yang telah dilaksanakan oleh Mohd Yusof Hussain, et. al. (2011) iaitu sekiranya elemen hubungan kejiranan disepadukan, kesannya dalam membentuk nilai kesejahteraan adalah tinggi.

 

Bak kata pepatah Melayu, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Kerja yang berat seperti aktiviti membersihkan taman permainan, longkang, mengemaskan kawasan semak dan terlindung akan menjadi mudah jika dilakukan secara bekerjasama. Selain membersihkan kawasan persekitaran yang turut menyihatkan tubuh badan, ia juga menjadi platform mewujudkan keharmonian.

 

Melihat kepada budaya semasa, semakin ramai yang lebih gemar mendapatkan khidmat katering atas faktor kemudahan, walaupun kosnya mungkin lebih tinggi berbanding melakukannya secara gotong-royong. Jika disingkap dengan budaya zaman dahulu, masyarakat sekampung akan sama-sama menyingsing lengan untuk membantu. Golongan ibu akan sama-sama mengupas dan memotong bawang sambil bertanya khabar serta berita manakala golongan bapa pula menyembelih lembu atau kambing, memotong serta menyiapkan daging untuk dimasak di dalam kawah besar.

 

Sementara itu, program sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidil Adha, yang dijalankan secara gotong-royong terutama semasa acara penyembelihan dapat membina hubungan persaudaraan dalam kalangan komuniti. Program sebegitu juga membuka ruang untuk mewujudkan persefahaman bagi menangkis segala prasangka atau salah faham.

 

Proses penyediaan dan memasak yang agak lama secara tidak langsung menggalakkan banyak komunikasi. Ia memberi peluang untuk saling mengenal, mewujudkan permuafakatan, toleransi dan mengeratkan perpaduan. Dalam pada itu, maklumat berkaitan keselamatan dan kejiranan juga dapat dikongsikan antara satu sama lain.

 

Sehubungan itu, aktiviti gotong-royong ini boleh diangkat kembali kepada generasi kini. Agensi kerajaan misalnya boleh bersama-sama dengan masyarakat kampung melaksanakan aktiviti tersebut di peringkat luar bandar. Menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru (NBOS) yang melibatkan jalinan kerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi bertujuan untuk membudayakan program gotong-royong dalam kalangan masyarakat adalah satu kaedah terbaik bagi mengukuhkan kesejahteraan komuniti.

 

RUJUKAN

 

Hussain, M. Y., Samsurijan, M. S., Ishak, S., & Awang, A. H. (2011). Hubungan kejiranan dalam membentuk kesejahteraan hidup masyarakat ‘kampung bandar’: Kes Kampung Berjaya dan Kampung Mempelam, Alor Setar, Malaysia. Geografia, 7(3). Retrieved 26 Mac 2022 from http://www.ukm.my/geografia/images/upload/5.2011-3-Yusof%20dkk%20ukm-melayu-ed-katiman%5B1%5D-edited%2030.7.pdf

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …