CETI HARAM NAFI PERAS PEMINJAM

SEREMBAN: Dua ceti haram mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan memeras seorang wanita sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan barangan peribadi dan wang tunai pada 13 September lalu.

Tertuduh, Tan Ang Kang, 42, dan Yeoh Teck Kiat, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh.

Menurut pertuduhan, mereka sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita berusia 45 tahun dan mendorong mangsa itu menyerahkan sebuah telefon bimbit, sebuah Perodua Axia dan wang tunai berjumlah RM200 kepada tertuduh.Kesalahan dilakukan pada 13 September lalu di lot kedai berdekatan asrama sebuah kolej di Mantin, Nilai.

Dengan itu kedua-dua tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Diana Md Razali atas pertuduhan menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen kepada wanita sama pada Mei lalu.Menurut pertuduhan, mereka menjalankan perniagaan memberi pinjam wang tanpa lesen sah kepada wanita itu di Pekan Taman Semarak, Nilai pada 26 Mei lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman boleh didenda tidak kurang RM250,000 tetapi tidak lebih RM1 juta atau penjara untuk tempoh tidak lebih lima tahun dan kedua-dua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfikri Mohd Nasir manakala kedua-dua lelaki itu tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM14,000 terhadap setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan menyerahkan pasport serta melaporkan diri di balai berdekatan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan.

Sebutan semula pada 25 Oktober.

sumber : Harian Metro

Artikel/Berita Terkini

JUMLAH MISKIN TEGAR DI TERENGGANU BERKURANGAN SEBANYAK 3,268

Statistik jumlah miskin tegar di Terengganu menunjukkan jumlah pengurangan sebanyak 3,268 keluarga dalam tempoh empat bulan pada tahun ini. Timbalan …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN NEGERI HARGAI PERANAN MEDIA DI SABAH

KOTA KINABALU (7 Mei): Kerajaan negeri menghargai peranan dan kerjasama media selama ini terutama dalam memberi laporan berkaitan segala usaha …
Maklumat Lanjut

PELAJAR DI NEGARA BERGOLAK DIMINTA KEMASKINI MAKLUMAT KEPADA KEDUTAAN

BONGAWAN (6 Mei): Pelajar terutama di negara bergolak, diminta untuk sentiasa mengemaskini maklumat dan lokasi kepada pejabat kedutaan. Timbalan Menteri …
Maklumat Lanjut