TIDAK BERASAS PELABUR TARIK DIRI HANYA KERANA BAHASA MELAYU

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021–2025

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 2: KESEPADUAN NASIONAL (Semangat Patriotisme)

Keputusan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam persidangan antarabangsa sememangnya inisiatif cemerlang yang perlu dipuji. Beliau turut menegaskan segala surat rasmi yang diberikan kepada negara luar juga akan menggunakan Bahasa Melayu di samping terdapat terjemahan dalam Bahasa Inggeris. Usaha ini akan dapat mengangkat martabat bahasa kebangsaan seperti mana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Langkah yang diambil beliau melambangkan keseriusan kerajaan memartabatkan bahasa kebangsaan. Pendirian kerajaan ini sememangnya memberi implikasi positif kepada Negara Malaysia sementelah kebanyakan generasi kini seolah-olah memandang ringan terhadap kebolehpasaran bahasa berkenaan di peringkat global.

Dalam hal ini, semua pihak bermula daripada generasi di sekolah sehinggalah barisan kepimpinan negara perlu menggembleng tenaga untuk memartabatkan bahasa Melayu agar tidak lapuk ditelan zaman dan kemajuan teknologi. Sebagai contoh, usaha murni yang dilakukan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu ketika persidangan antarabangsa pada November 2021 di Glasgow, Scotland perlulah menjadi batu asas kepada orang ramai.

Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi juga bertepatan dengan sifat bahasa itu bagi tujuan perpaduan rakyat. Bahasa Melayu ialah bahasa ilmu yang paling mudah untuk difahami walaupun berbeza bangsa dan etnik.

Terdapat juga desas-desus yang mengatakan sekiranya bahasa Melayu diperluas bagi tujuan urusan rasmi sama ada di peringkat lokaliti mahupun global, boleh menyebabkan pelabur asing menarik diri daripada menjalankan urus niaga.

Perkara tidak berasas ini sepatutnya tidak timbul kerana banyak negara maju yang boleh dijadikan contoh termasuk negara pengeluar seperti Jepun. Sepatutnya rakyat buka mata dengan melihat pendatang asing mempelajari bahasa Melayu dengan mudah. Malahan mereka berasa bangga apabila dapat berkomunikasi dengan penduduk tempatan menggunakan bahasa kebangsaan dengan begitu baik.

Justeru, rakyat seharusnya memastikan penggunaan bahasa Melayu terus diperkasakan demi kemaslahatan generasi akan datang.

Sumber : UTUSAN MALAYSIA

Artikel/Berita Terkini

KUALA TERENGGANU, BANDARAYA WARISAN PESISIR AIR

Kuala Terengganu merupakan ibu negeri Terengganu, sebuah negeri di Malaysia yang terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia. Bandaraya ini mempunyai …
Maklumat Lanjut

KETAHUI KEPERLUAN KALORI ANDA

Setiap makanan yang kita makan akan menghasilkan tenaga. Tenaga yang terhasil daripada proses pembakaran makanan dalam tubuh ini dikenali sebagai …
Maklumat Lanjut

ENAM PERISTIWA PENTING YANG BERLAKU PADA BULAN SYAWAL

Bulan Syawal merupakan bulan ke-10 dalam takwim Hijrah. Pada 1 Syawal, umat Islam merayakan Hari Raya Aidilfitri sebagai perayaan setelah …
Maklumat Lanjut