KUALA LUMPUR, 9 DISEMBER 2021 – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengadakan Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan COVID-19 JAKIM/JAWI Tahun 2021 bagi menghargai jasa dan bakti petugas-petugas Barisan Hadapan COVID-19 JAKIM/JAWI sepanjang tahun 2021 ini.
Sehingga 8 Disember 2021 sebanyak 3773 Jenazah COVID-19 telah diuruskan oleh pasukan ini. Pasukan ini telah ditubuhkan oleh JAKIM pada 22 Mac 2020 bagi menguruskan jenazah-jenazah COVID-19 dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Seramai 203 orang telah terpilih mengangotai pasukan ini terdiri daripada pegawai JAKIM, JAWI, Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) serta masjid-masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Majlis Apresiasi ini juga dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Ruslan bin Said, Pengarah Kanan Bhg. Dakwah JAKIM yang mewakili Puan Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Menjalankan Tugas Ketua Pengarah JAKIM sebagai tetamu kehormat bagi menyampaikan amanat kepada petugas-petugas yang hadir.Turut hadir juga ialah YBhg. Datuk Haji Mohd. Ajib bin Ismail, Pengarah JAWI, Kolonel Hj. Hamzah bin Adam, Pengarah Pengurusan Masjid ATM, serta pegawai-pegawai kanan JAKIM dan JAWI.
SUMBER: FB JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN – JAWI https://www.facebook.com/JAWIWP