GUNA JENTERA PENGOREK KAUT GALI LUBANG KUBUR JENAZAH COVID-19

KUALA LUMPUR, 1 OGOS 2021 –  Peningkatan jumlah pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di ibu negara mutakhir ini memaksa pasukan pengurusan pengebumian jenazah untuk menggunakan jentera pengorek kaut bagi menggali lubang kubur di beberapa tanah perkuburan sekitar Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata ia lebih-lebih lagi apabila jumlah jenazah yang perlu diuruskan di Tanah Perkuburan Islam Raudhathul Sakinah (TPIRS) Lebuhraya KL-Karak di Taman Selaseh dan TPIRS Bukit Kiara kadangkala menjangkau sehingga lebih 30 jenazah sehari.

“Pihak jabatan terpaksa guna langkah lebih proaktif dengan menggunakan pengorek kaut iaitu dengan menyewa jentera bagi menggali lubang kubur dan penggali kita yang mahir selepas itu akan membuat liang lahad pula.

“Jentera ini juga kami gunakan untuk membantu menutup lubang kubur, semua ini adalah bagi mempercepatkan proses pengurusan jenazah,” katanya kepada Bernama.

Terdapat 113 petugas dalam Pasukan Pengurusan Jenazah Khas COVID-19 yang menguruskan jenazah di hospital dan pusat perubatan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan, merangkumi 74 petugas JAWI, 21 petugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta 18 daripada Kor Agama Angkatan Tentera.

Bagi petugas sukarelawan pula, terdapat 37 penggali kubur dan 54 pemandu jenazah, katanya.

Pasukan berkenaan menguruskan jenazah dari beberapa hospital antaranya Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM-PPUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Hospital Putrajaya (HPJ), dan Institut Kanser Negara (IKN).

Mohd Ajib berkata setakat ini jumlah jenazah paling banyak diuruskan pasukan berkenaan sehari ialah pada Ahad lepas, iaitu sebanyak 93 jenazah, manakala semalam 74 jenazah.

Setakat 8 pagi ini, sebanyak 2,352 jenazah COVID-19 telah diuruskan pasukan berkenaan sejak Mac tahun lepas merangkumi 1,320 jenazah lelaki dan 1,032 jenazah wanita, majoritinya berusia 41 hingga 60 tahun iaitu sebanyak 959 jenazah, diikuti 938 jenazah berusia 61 hingga 80 tahun.

Bagaimanapun Mohd Ajib berkata beliau bersyukur kerana semua ujian dan cabaran dihadapi pasukan berkenaan khususnya di hospital dan tanah perkuburan dapat dihadapi menerusi kerjasama erat pelbagai agensi dan sukarelawan.

“Kami sentiasa berusaha jaga kebajikan mereka dan berusaha pastikan semua pengurusan jenazah diuruskan mengikut syariah,” katanya sambil menambah, pasukan berkenaan turut dibekalkan bantuan makanan setiap hari serta mengambil kira keperluan mereka yang berkaitan.

SUMBER: ASTRO AWANI DAN BERNAMA

 

Artikel/Berita Terkini

KPM GIAT LAKSANA PELBAGAI INISIATIF BAGI MEREFORMASI PENDIDIKAN NEGARA, TANGANI KECICIRAN PEMBELAJARAN

KPM GIAT LAKSANA PELBAGAI INISIATIF BAGI MEREFORMASI PENDIDIKAN NEGARA, TANGANI KECICIRAN PEMBELAJARAN Kementerian Pendidikan (KPM) sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif …
Maklumat Lanjut

CAKNA MEDIA SOSIAL DI KALANGAN KANAK-KANAK: MENJANA KESEDARAN DAN KESELAMATAN

Media sosial telah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan harian kita, mempengaruhi bagaimana kita berhubung, berinteraksi, dan menerima maklumat. Namun, kesan …
Maklumat Lanjut

PAHANG CADANG WUJUDKAN ZON INDUSTRI DI SEMUA DAERAH

Bera: Kerajaan Negeri Pahang bercadang mewujudkan zon perindustrian di semua daerah di negeri ini bagi menarik kemasukan pelabur asing ke …
Maklumat Lanjut