PERASMIAN: Hajiji menyempurnakan gimik penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026.
KOTA KINABALU: Sabah memerlukan sebuah hospital khusus yang berfungsi sebagai Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi, selain menjadi pusat latihan terunggul perkhidmatan pra-hospital di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata usaha itu perlu disertai langkah menangani kekurangan sumber manusia dan kelengkapan ambulans, khususnya bagi memastikan perkhidmatan kecemasan di bandar serta pedalaman dapat memberikan rawatan berkualiti.
Beliau berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di negara ini, termasuk Sabah, diikuti penyakit serebrovaskular atau strok dan kemalangan jalan raya.
Katanya, statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut menunjukkan peningkatan panggilan kecemasan menerusi talian 999, daripada 14,256 panggilan pada 2024 kepada 15,434 pada 2025.
“Sebanyak 10,154 panggilan direkodkan setakat September tahun ini.
“Apabila menyebut rawatan kecemasan, pengoperasian perkhidmatan pra-hospital atau ambulans memainkan peranan penting sebagai sebahagian rangkaian penjagaan kesihatan berterusan kepada masyarakat, dengan masa respons yang singkat dan pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026 di Menara Kinabalu, di sini, semalam.
PENYAMPAIAN SIJIL: Hajiji menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026.
Hajiji berkata, peranan ahli pertolongan cemas dalam kalangan masyarakat amat penting bagi memberikan bantuan awal sementara menunggu ketibaan ambulans dan pasukan pra-hospital.
Katanya, tindakan awal yang pantas, tepat dan berkesan bukan sahaja mampu mengurangkan risiko komplikasi, malah berupaya menyelamatkan nyawa mangsa.
“Sehubungan itu, usaha melatih lebih ramai ahli pertolongan cemas serta menyediakan pasukan berkemahiran dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan amat penting bagi mengurangkan kadar kematian,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, Sabah mempunyai kira-kira 3.4 juta penduduk yang tersebar di kawasan geografi luas, dengan kepadatan purata 46 orang bagi setiap kilometer persegi.
Katanya, keadaan itu menjadikan kelangsungan hidup pada minit awal kecemasan amat bergantung kepada orang awam dan responden pertama komuniti yang terlatih untuk memulakan bantuan, termasuk resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Justeru, beliau menyifatkan penganjuran kursus berkenaan yang julung kali melibatkan pengiring peribadi menteri, pembantu menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai Jabatan Ketua Menteri sebagai langkah tepat.
“Usaha ini satu inisiatif baik dan wajar diteruskan secara berkala, selain melibatkan semua pengiring peribadi Yang Berhormat yang menguruskan perkhidmatan rakyat di lapangan,” katanya.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai Datuk Dr G Mohan A Gopal Naidoo, dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Beliau berharap kursus itu bukan sahaja menjadi inspirasi kepada pengiring peribadi yang belum mengikuti latihan, malah menjadi contoh kepada dewan undangan negeri di seluruh negara.
Dalam pada itu, Hajiji menggesa setiap ADUN menggunakan sebahagian peruntukan masing-masing bagi melatih dan menyediakan pasukan pertolongan cemas yang berkemahiran serta bersedia menghadapi kecemasan di kawasan mereka.
Katanya, usaha itu selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
“Lebih ramai ahli pertolongan cemas dalam kalangan orang awam perlu dilatih bagi mencapai sasaran ‘seorang ahli pertolongan cemas bagi setiap keluarga’,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



