SENI DAN TEKNOLOGI PERLU DIBANGUNKAN SECARA SEIMBANG: HAJIJI

CENDERAMATA: Isnin menerima cenderamata daripada penganjur selepas mewakili Hajiji merasmikan PASTIK 2026 di Dewan Resital UMS.

KOTA KINABALU: Kemajuan teknologi tidak seharusnya mengetepikan nilai kemanusiaan, keaslian karya dan identiti budaya, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan perkembangan seni.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perkembangan kecerdasan buatan (AI), media digital, teknologi audio visual dan platform komunikasi baharu membuka peluang luas kepada penggiat seni serta industri kreatif.

“Kekuatan seni terletak pada keupayaannya menyentuh pemikiran dan perasaan manusia, manakala teknologi menyediakan ruang serta kaedah baharu untuk memperluas pengalaman dan penyampaian karya.

“Kita memerlukan generasi pengkarya yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, tetapi turut mempunyai asas ilmu, daya pemikiran kritis, kreativiti dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial serta budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena perasmian Persidangan Antarabangsa Seni dan Teknologi Kreatif (PASTIK 2026) di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.

Hajiji berkata, kepelbagaian etnik, bahasa, adat resam, tradisi dan khazanah budaya Sabah menjadi kekuatan serta identiti negeri yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Usaha mendokumentasikan, mengkaji, mempersembahkan dan memperkenalkan khazanah seni budaya Sabah kepada masyarakat antarabangsa perlu dipergiatkan supaya warisan berkenaan terus berkembang melalui pendidikan, penyelidikan, pengkaryaan dan inovasi.

“Institusi pengajian tinggi seperti UMS berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu, selain menjadi pemangkin perkembangan pemikiran kreatif, penyelidikan seni dan pemerkasaan budaya tempatan.

“Industri kreatif mempunyai potensi besar sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu, justeru kerajaan negeri komited menyokong pembangunan modal insan yang celik teknologi serta memiliki daya kreativiti dan inovasi tinggi menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Hajiji berharap PASTIK 2026 menjadi platform membincangkan idea baharu, berkongsi hasil penyelidikan serta mengenal pasti peluang kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan seni dan industri kreatif, khususnya di Sabah.

Beliau turut menyambut baik pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universitas Sebelas Maret dengan UMS yang membuka peluang memperluas jaringan penyelidikan, pertukaran kepakaran, pembangunan program akademik dan penghasilan karya kreatif bersama.

Katanya, kerjasama itu diharap diterjemahkan kepada program dan tindakan yang memberikan impak nyata kepada kedua-dua institusi serta masyarakat, bukan sekadar pemeteraian dokumen.

Hajiji turut menekankan kepentingan menyediakan ruang dan peluang kepada golongan muda untuk terbabit secara aktif dalam bidang seni dan teknologi kreatif sebagai pencipta, pengkarya, penyelidik serta usahawan industri kreatif.

Katanya, bakat golongan muda perlu dibimbing menerusi pendidikan, latihan, pendedahan industri dan peluang menghasilkan karya berkualiti, selain menggalakkan mereka meneroka idea baharu tanpa melupakan akar budaya serta nilai masyarakat sendiri.

Beliau berharap institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti seni terus berganding bahu membangunkan ekosistem seni dan industri kreatif yang dinamik, mampan serta berdaya saing.

Usaha itu sekali gus mampu menggerakkan potensi Sabah sebagai salah satu pusat perkembangan seni, budaya dan kreativiti di rantau ini.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

SABAH PERLU HOSPITAL TRAUMA, REHABILITASI KHUSUS

PERASMIAN: Hajiji menyempurnakan gimik penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026. KOTA KINABALU: Sabah memerlukan sebuah hospital …

SENI DAN TEKNOLOGI PERLU DIBANGUNKAN SECARA SEIMBANG: HAJIJI

CENDERAMATA: Isnin menerima cenderamata daripada penganjur selepas mewakili Hajiji merasmikan PASTIK 2026 di Dewan Resital UMS. KOTA KINABALU: Kemajuan teknologi …

BIMP-EAGA PERLU PERSEKITARAN PELABURAN KONDUSIF PACU INTEGRASI EKONOMI

HADIR: Ewon (lima kanan) bersama delegasi Malaysia ketika menghadiri Forum Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan BIMP-EAGA (CMFLF). KOTA KINABALU: …