DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030
NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK
(Integrasi Dasar & Operasi)

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terus mempergiat tindakan penguatkuasaan menerusi Operasi OPS TEGAS bagi memastikan aktiviti perniagaan di kawasan pentadbiran Majlis mematuhi undang-undang, syarat pelesenan serta peraturan yang telah ditetapkan. Operasi yang dilaksanakan pada 23 November 2026, melibatkan seramai 18 anggota daripada Unit Tindakan Khas, Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan dan Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP, dengan tumpuan kepada aktiviti pengendalian atau pengurusan premis perniagaan oleh warga asing serta pelanggaran syarat-syarat lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Hasil pemeriksaan di kawasan Taman Bukit Jambul, Bayan Lepas, sebuah premis perniagaan telah dikenakan tindakan penutupan dan penyitaan (sealed-off). Pemeriksaan mendapati terdapat penglibatan pekerja warga asing serta aktiviti penjualan produk yang dikenal pasti bukan keluaran pasaran tempatan. Premis berkenaan turut menjalankan aktiviti penyediaan dan penjualan sireh, pinang serta kapur.
MBPP menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, mengendalikan atau menguruskan perniagaan melalui warga asing tanpa mematuhi ketetapan yang berkuat kuasa, melanggar syarat-syarat lesen Majlis atau menjalankan aktiviti yang boleh menimbulkan kacau ganggu kepada orang awam.
Sumber : Majlis Bandaraya Pulau Pinang https://www.facebook.com/majlisbandaraya.pulaupinang



