Siaran Terkini : 29 Oktober 2026
Gambaran Keseluruhan
PRODUKTIVITI BURUH MALAYSIA, 2025
Produktiviti buruh merupakan petunjuk penting prestasi ekonomi yang mencerminkan kecekapan penggunaan input buruh dalam menghasilkan output ekonomi. Peningkatan produktiviti buruh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan, meningkatkan daya saing dan menyokong peningkatan taraf hidup. Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam ekonomi global pada tahun 2025, melonjak 11 anak tangga dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2025, ke kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi, berbanding kedudukan ke-34 pada tahun sebelumnya.
Pencapaian ini mencerminkan daya saing Malaysia dalam landskap ekonomi global, seperti yang ditunjukkan melalui prestasinya dalam empat tonggak utama: prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur. Prestasi ini turut digambarkan dalam produktiviti buruh Malaysia yang terus mengukuh pada tahun 2025, mencatatkan pertumbuhan 4.0 peratus dengan nilai ditambah per penduduk bekerja RM104,556 seorang (2024: 3.7%; RM100,570 seorang). Jumlah pekerja turut meningkat kepada 16.6 juta orang (2024: 16.4 juta orang). Sementara itu, ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus, dengan nilai ditambah mencecah RM1,736,953 juta (2024: 5.2%; RM1,651,873 juta).
Prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan ini juga digambarkan melalui pertumbuhan produktiviti buruh yang positif di semua negeri pada tahun 2025. Lima (5) negeri mencatatkan pertumbuhan melebihi kadar nasional, iaitu Johor (6.6%), Pulau Pinang (5.0%), Perak (4.3%), Selangor (5.3%) dan Sabah (5.0%). Sabah mencatatkan pemulihan semula produktiviti buruh yang ketara, daripada penguncupan 0.7 peratus pada tahun 2024 kepada 5.0 peratus pada tahun 2025. Pada peringkat sektor, prestasi produktiviti buruh menunjukkan pola yang berbeza mengikut aktiviti ekonomi pada tahun 2025.
Sektor Pembinaan menerajui prestasi produktiviti buruh Malaysia pada tahun 2025 dengan pertumbuhan dua digit 11.4 peratus, diikuti oleh Pembuatan (4.0%), Perkhidmatan (3.8%) dan Pertanian (2.3%). Sebaliknya, sektor Perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penurunan marginal 0.1 peratus. Walaupun produktiviti buruh secara keseluruhan terus mencatatkan pertumbuhan, kadar pertumbuhan dan prestasi mengikut negeri berbeza antara sektor, mencerminkan variasi prestasi sektor di seluruh negara.
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia



