Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan kepada orang awam mengenai peningkatan risiko penipuan yang melibatkan penghantaran fail ZIP, lampiran dan pautan yang mencurigakan melalui WhatsApp.
Penipu mungkin menyamar sebagai individu yang dikenali atau pihak yang dipercayai dan menghantar mesej yang mengandungi fail atau pautan dengan alasan untuk semakan atau tindakan lanjut. Fail ZIP tersebut mungkin mengandungi perisian hasad (malware) yang boleh membahayakan peranti jika fail itu dibuka.
Peranti atau akaun yang terjejas berpotensi terdedah kepada risiko keselamatan berikut:
- Jangkitan peranti oleh perisian hasad;
- Kebocoran maklumat peribadi yang berkaitan dengan akaun;
- Akses tanpa kebenaran kepada akaun WhatsApp atau peranti;
- Pengambilalihan akaun atau kehilangan kawalan terhadap akaun;
- Penyalahgunaan akaun WhatsApp yang terjejas bagi tujuan penipuan atau aktiviti berniat jahat.
Tindakan yang Perlu Diambil oleh Pengguna:
MCMC menasihati pengguna untuk:
- Tidak membuka fail ZIP, lampiran atau pautan yang diterima melalui WhatsApp daripada sumber yang tidak dikenali;
- Mengesahkan dengan pengirim melalui saluran komunikasi yang dipercayai sebelum membuka sebarang fail atau pautan;
- Tidak memuat turun, mengekstrak atau melaksanakan fail yang mencurigakan;
- Mengaktifkan ciri Pengesahan Dua Langkah atau (Two-Step Verification) pada akaun WhatsApp bagi meningkatkan keselamatan akaun;
- Tidak berkongsi kod pengesahan WhatsApp atau PIN/kata laluan keselamatan dengan mana-mana pihak;
- Menyemak senarai Peranti Dipautkan (Linked Devices) secara berkala dan mengalih keluar sebarang peranti yang tidak dikenali;
- Memastikan sistem pengendalian, aplikasi dan perisian keselamatan sentiasa dikemas kini;
- Sekiranya fail mencurigakan telah dijalankan dan peranti disyaki terjejas, putuskan sambungan internet, jalankan imbasan keselamatan dan tukar kata laluan yang berkaitan menggunakan peranti lain yang dipercayai;
- Memaklumkan kepada kenalan dengan segera sekiranya akaun WhatsApp disyaki telah terjejas bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan.
MCMC menggalakkan semua pengguna untuk mengamalkan amalan keselamatan siber yang baik, memastikan peranti sentiasa dikemas kini dan hanya merujuk kepada maklumat sahih daripada sumber rasmi.
Sumber: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)



