Mencari rezeki yang halal dan berkat merupakan satu amanah serta bentuk ibadah yang sangat mulia bagi seorang pekerja. Setiap titik peluh yang dicurahkan dalam usaha memberi nafkah kepada diri dan keluarga bukan sahaja untuk memenuhi keperluan asas duniawi, malah ia akan menjadi darah daging yang membentuk keperibadian dan akhlak kita sekeluarga. Pekerjaan yang dilakukan dengan jujur, berintegriti, serta bebas daripada sumber haram seperti rasuah, penipuan, dan penyelewengan akan memastikan rezeki yang dibawa pulang ke rumah sentiasa dirahmati Allah SWT.
Rezeki daripada sumber yang syubhah atau haram membawa kesan yang amat buruk terhadap ketenteraman jiwa dan keharmonian hidup. Makanan dan harta yang terhasil daripada sumber yang tidak berkat boleh menjadi halangan kepada terkabulnya doa, menumpulkan hati daripada menerima kebaikan, serta menolak keberkatan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, memastikan persekitaran kerja dan pendapatan kita benar-benar halal adalah benteng utama dalam memelihara kesucian serta kesejahteraan semua.
Rasulullah SAW menegaskan betapa besarnya nilai usaha mencari nafkah yang halal menerusi sabda baginda:
طَلَبُ كَسْبِ الْحَلَالِ فَرِيْضَةٌ بَعْدَ الْفَرِيْضَةِ
“Mencari rezeki yang halal adalah satu kewajiban selepas kewajiban (fardu) yang lain.” — HR al-Tabarani
Semoga pada hari yang penuh barakah ini, kita dikurniakan kekuatan untuk sentiasa istiqamah dalam mencari rezeki yang bersih, agar keluarga yang kita sayangi sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan reda-Nya.
Sumber : Facebook Institut Integriti Malaysia



