Alor Gajah – Kejayaan besar dicatatkan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah apabila berjaya menumpaskan sindiket curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) oleh Unit Kereta Poronda (MPV) yang melakukan runtin rondaan cegah jenayah di kawasan Lubuk China baru-baru ini.
Ketika kejadian dimaklumkan, tangkapan dilakukan hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap aktiviti mencurigakan di beberapa lokasi panas sekitar daerah ini. Dalam penahanan tersebut, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki berbangsa Bajau manakala dua orang bangsa tidak pasti telah melarikan diri ke dalam semak setelah adegan kejar mengejar oleh kereta peronda polis (MPV) dengan kereta suspek jenis Proton Wira yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan mencuri kabel komunikasi TM.
Rampasan turut dibuat ke atas peralatan yang digunakan untuk memotong dan mengangkut kabel, termasuk kenderaan serta barangan lain yang disyaki hasil jenayah. Nilai kerugian akibat kecurian kabel TM dianggarkan mencecah puluhan ribu ringgit dan ia memberi kesan kepada gangguan perkhidmatan internet serta talian telefon kepada penduduk setempat.
Hasil tindakan pantas BPJKK Alor Gajah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan polis membanteras jenayah harta benda yang semakin meruncing dan mengganggu kemudahan awam. Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan dibawah Seksyen Sek.15(1)(a) ADB 1952.
Dalam kejadian berasingan, sepasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) BPJKK IPD Alor Gajah turut menahan seorang lelaki berbangsa melayu hasil maklumat daripada orang ramai yang melihat suspek sedang melakukan kegiatan curi kabel di Rumbia Alor Gajah Melaka. Dalam kejadian ini pihak polis turut merampas beberapa besi cooper yang telah dibuang salutnya serta beberapa peralatan yang digunakan bagi kegiatan mencuri kabel. Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Sek.15(1)(a) ADB 1952.
Pihak polis turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat sekiranya melihat sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan kabel telekomunikasi. Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan perkhidmatan asas tidak terjejas dan pelaku jenayah dapat dibawa ke muka pengadilan.
Sumber : FB Polis Alor Gajah



