Kementerian Pendidikan Malaysia menganjurkan Jelajah Integriti KPM 2026 yang bertemakan “Integriti Tanpa Sempadan” mulai 30 Jun 2026 hingga 14 Oktober 2026. Sebanyak 13 siri telah dianjurkan Unit Integriti, Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menonjolkan komitmen secara berterusan dalam pengukuhan budaya integriti dan bagi meningkatkan kesedaran warga pendidikan terhadap tanggungjawab serta amanah dalam perkhidmatan.
Dengan kerjasama JWP Kuala Lumpur, JWP Putrajaya dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seluruh negeri, program ini melibatkan warga pendidik daripada JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah. Secara keseluruhan, Jelajah Integriti KPM 2026 merekodkan 78,267 tontonan, sekali gus memperluas capaian mesej integriti kepada warga pendidikan di seluruh negara.
Program ini menampilkan tiga penceramah, iaitu Puan Siti Zakiah Che Man, Ketua Unit Integriti; Encik Mohd Azrul bin Zainal, Ketua Penolong Setiausaha; dan Encik Hasmeer bin Hasanuddin, Penolong Pengarah. Perkongsian yang disampaikan memberi ruang kepada warga pendidik untuk mengemukakan pertanyaan, mendapatkan penjelasan serta meningkatkan kefahaman berkaitan isu integriti, peraturan dan pekeliling yang berkuat kuasa.
Pembudayaan integriti bukan sekadar dizahirkan melalui penyampaian maklumat atau penyertaan dalam sesuatu program, tetapi menuntut penghayatan nilai yang berakar dalam diri dan terpancar melalui setiap tindakan. Amanah, kejujuran dan akauntabiliti hendaklah menjadi pegangan yang membimbing setiap pertimbangan, keputusan serta pelaksanaan tanggungjawab, meskipun tanpa pengawasan atau pengiktirafan. Sesungguhnya, integriti yang tulen lahir daripada kesedaran bahawa setiap amanah membawa tanggungjawab yang perlu ditunaikan dengan penuh keikhlasan dan ketelusan. Inilah landasan kukuh dalam membentuk ekosistem pendidikan yang bukan sahaja profesional dan berakauntabiliti, malah diyakini serta dihormati oleh masyarakat.
Sebagai usaha memperkukuhkan lagi budaya integriti, Sambutan Hari Integriti KPM Tahun 2026 akan dianjurkan pada 5 November 2026 dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) amat bertuah kali ini apabila telah dipilih sebagai tuan rumah.
Selamat Berintegriti semua warga pendidik!
Sumber : Facebook Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu



