Jerebu merupakan fenomena pencemaran udara yang berlaku akibat pengumpulan zarah halus dan bahan pencemar di atmosfera. Keadaan ini boleh berpunca daripada pembakaran terbuka, kebakaran hutan dan tanah gambut serta pelepasan asap kenderaan dan industri. Situasi jerebu di Malaysia perlu sentiasa dipantau, khususnya ketika cuaca kering yang boleh meningkatkan risiko pencemaran udara. Kualiti udara yang tidak sihat boleh menjejaskan kesihatan, terutama kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Dalam tempoh musim peperiksaan seperti sekarang, aspek kesihatan dan keselamatan calon perlu diberikan perhatian bagi memastikan peperiksaan dapat berlangsung dengan lancar. Para pelajar yang terlibat dengan peperiksaan terutamanya disarankan untuk sentiasa cakna dan mendapatkan maklumat terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) melalui saluran rasmi, mengurangkan aktiviti luar apabila kualiti udara merosot, menutup tingkap jika perlu dan menggunakan pelitup muka yang sesuai ketika berada di luar. Pelajar juga perlu mematuhi arahan pihak sekolah serta mendapatkan rawatan sekiranya mengalami kesukaran bernafas atau gejala yang membimbangkan.
Sehubungan itu, Operasi Topeng merupakan satu inisiatif prihatin Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia, dalam menangani pencemaran udara semasa peperiksaan. Inisiatif ini menekankan pemantauan status IPU, penyampaian maklumat kepada ibu bapa atau penjaga serta penyelarasan tindakan dengan pihak berkuasa. Sekiranya bacaan IPU mencapai tahap berbahaya, arahan rasmi berkaitan pergerakan calon dan pemindahan lokasi peperiksaan ke tempat selamat hendaklah dipatuhi. Usaha ini mencerminkan komitmen untuk mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan calon peperiksaan.
Sumber : Facebook Lembaga Peperiksaan Rasmi, Bernama, Jabatan Alam Sekitar



