TAHAN: Antara PATI Yang Ditahan Dalam Operasi Ini.
KOTA KINABALU: Seramai 111 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi Ops Sapu di Kota Kinabalu, Sandakan dan Kudat.
Jurucakap JIM Sabah berkata, operasi selama dua hari pada 18 dan 19 Ogos itu menyaksikan 224 individu diperiksa.
“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas.
“Di Kota Kinabalu, seramai 66 warga asing ditahan selepas pemeriksaan terhadap 153 individu.
“Tangkapan membabitkan 60 warga Filipina terdiri daripada 13 lelaki, 18 wanita dan 29 kanak-kanak,” katanya.
Katanya, turut ditahan enam warga Indonesia terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita.
“Sementara itu, operasi di Sandakan membabitkan pemeriksaan terhadap 35 individu dengan 27 daripadanya ditahan.
“Mereka terdiri daripada 26 warga Filipina iaitu tujuh lelaki, lima wanita dan 14 kanak-kanak.
“Seorang lagi yang ditahan adalah lelaki warga Indonesia,” katanya.
Katanya, di Kudat pula, 36 individu diperiksa dengan 18 warga Filipina ditahan.
“Mereka terdiri daripada lapan lelaki, tiga wanita dan tujuh kanak-kanak.
“Kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Katanya, tindakan lanjut terhadap semua yang ditahan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa.
“Langkah itu bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.
“Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.
“Masyarakat turut diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan berkenaan menerusi saluran rasmi JIM,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



