“U ARE MY MOOD BOOSTER!” – PUJIAN MANIS YANG BOLEH MENJADI RACUN EMOSI

Pernahkah anda berada dalam situasi di mana badan terlampau penat, otak tepu, dan tangki emosi pula sudah berbaki satu peratus sahaja? Waktu itulah ada rakan atau kenalan rapat datang mendekat dengan niat asal mahu mengadu nasib atau meluahkan perasaan. Bagaimanapun, apabila melihat respon kita yang hambar dan tidak bermaya, mereka mula melontarkan soalan bertubi-tubi seperti menuduh kita marah, tidak mahu melayan, malah memaksa kita menjadi penghibur dengan ayat, “Kamu penyeri hari saya, tak boleh macam ni, layanlah!” Mendengar bait-bait kata tersebut, automatik satu gelombang amarah atau rasa ingin baran datang mendadak dalam diri kita, walaupun individu itu sekadar menganggap kita sebagai pembawa ceria.

Secara psikologinya, kemarahan yang timbul secara tiba-tiba itu bukan bermakna anda seorang yang jahat, pentingkan diri, atau tidak bertoleransi. Sebaliknya, ia adalah isyarat amaran awal daripada sistem mental anda yang menyatakan bahawa sempadan diri anda sedang diceroboh secara halus. Apabila seseorang melabel anda sebagai pengarang emosi atau mood booster mereka secara mutlak, mereka sebenarnya sedang meletakkan satu bebanan tanggungjawab emosi yang sangat besar ke atas bahu anda. Mereka tersilap langkah dengan menganggap anda sebagai sebuah mesin pengecas bateri yang wajib berfungsi dua puluh empat jam sehari tanpa henti, lalu terlupa bahawa anda juga seorang manusia biasa yang berhak untuk berasa penat, sedih, atau mahu bersendiri.

Keadaan ini juga mendedahkan kita kepada satu bentuk kebergantungan emosi yang tidak sihat atau disebut sebagai codependency. Apabila kita dipaksa untuk sentiasa tersenyum dan mendengar keluhan orang lain dalam keadaan diri sendiri sedang tenat, kita sebenarnya sedang dipaksa menerima kepositifan toksik. Rasa nak baran itu muncul kerana hak anda sebagai individu yang mempunyai emosi sendiri seolah-olah dinafikan. Malah, tuduhan meluru daripada pihak sebelah sana yang mengatakan kita merajuk atau tidak mahu berkawan sebenarnya adalah satu bentuk manipulasi emosi secara tidak sengaja yang membuatkan kita rasa bersalah hanya kerana kita gagal menjadi ceria pada hari tersebut.

Oleh itu, menetapkan sempadan diri atau boundary adalah satu kemestian demi kelangsungan kesihatan mental diri sendiri. Menjadi pendengar yang baik adalah satu sifat yang mulia, tetapi anda perlu ingat bahawa anda bukanlah penyelamat emosi sesiapa dan tidak bertanggungjawab untuk menceriakan hari orang lain jika diri sendiri sedang ‘garing’. Mengatakan tidak kepada aduan orang lain sewaktu kita tiada tenaga bukanlah tanda kita membenci mereka, tetapi ia adalah tanda kita menyayangi diri sendiri terlebih dahulu. Kita tidak akan pernah boleh menuangkan air ke dalam cawan orang lain sekiranya teko di tangan kita sendiri sudah kosong dan kering kontang.

Kesimpulannya, jika ayat magis yang menuntut tenaga anda itu singgah lagi ke telinga sewaktu anda sedang kelelahan, tariklah nafas dalam-dalam dan berterus-teranglah dengan tenang. Katakan kepada mereka bahawa hari ini ejen pembawa ceria mereka juga sudah kehabisan bateri dan memerlukan masa untuk mengecas semula. Melalui cara ini, kita bukan sahaja dapat menjaga keharmonian hubungan persahabatan, malah dapat menyelamatkan diri kita daripada meletup akibat amarah yang dipendam. Bersuaralah demi sekeping hati yang perlu dijaga, kerana kesihatan mental anda adalah keutamaan yang tidak boleh ditukar ganti dengan senyuman yang dipaksa.

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …