OPERASI: Pasukan serbuan menjalankan siasatan di lokasi serbuan.
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah merampas pelbagai produk sejuk beku dan menyita aset bernilai keseluruhan RM24,152,652.25 menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter – Op Chiller Briged Sabah yang dilaksanakan di 11 daerah di negeri ini pada Rabu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam ( JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, operasi yang dijalankan antara jam 8 pagi hingga 6 petang pada 8 Julai itu bertujuan mengesan dan membanteras aktiviti penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku di samping mengesan pelbagai kesalahan lain.
Beliau berkata, sepanjang operasi yang dilaksanakan di Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu, Sook dan Sipitang berjaya merekodkan sebanyak 14 serbuan.
Katanya, hasil operasi membawa kepada penahanan 21 individu berusia antara 20 hingga 66 tahun.
“Mereka terdiri daripada 19 warganegara Malaysia iaitu 17 lelaki dan dua wanita serta dua lelaki warga asing.
“Semua tangkapan didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Azmi berkata, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan bagi 14 lokasi serbuan dianggarkan RM24,152,652.25.
“Rampasan produk sejuk beku bernilai RM10,348,152.25 membabitkan pelbagai variasi produk termasuk nugget, sosej, daging import jenama Allana, lamb shoulder, daging ayam, ikan, daging shabu-shabu dan organ dalaman lembu.
“Sitaan aset pula dianggarkan bernilai RM13,804,500 membabitkan 11 unit chiller pelbagai jenama berkapasiti 700 liter, 24 unit bilik sejuk (cold room) pelbagai saiz selain pelbagai kenderaan dan peralatan,” katanya.
RAMPAS: Sebahagian rampasan produk sejuk beku yang diperoleh melalui serbuan ini.
Menurutnya, siasatan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan mengikut Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta beberapa undang-undang kecil Majlis Daerah Lahad Datu.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah berkaitan penyimpanan dan pengendalian produk makanan, premis perniagaan, syarat kebersihan makanan, penggunaan bangunan serta kawalan bekalan.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.
Bercakap lanjut beliau berkata, operasi ini membabitkan kekuatan seramai 147 pegawai daripada pelbagai agensi.
“Ia terdiri daripada 78 pegawai dan anggota Briged Sabah PGA, 23 pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 23 pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar, 16 pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tujuh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



