KERAJAAN NEGERI SOKONG USAHA SCCC BANTU PERKASA PENDIDIKAN NEGERI

ALBUM: James (lapan kiri) bersama delegasi SCCC merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberikan sokongan penuh serta keterbukaan terhadap sebarang bentuk pemindahan teknologi dari luar negara, khususnya dari China, sebagai langkah strategik bagi memperkasakan pembangunan pendidikan, sains, teknologi dan inovasi di  Sabah.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, inovasi merupakan kuasa penggerak utama dalam pembangunan Sabah, dan berharap agar Dewan Perniagaan China Sabah (SCCC) dapat terus berperanan aktif membantu serta mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri dalam memperkenalkan teknologi canggih dari China ke Sabah.

Menurutnya, hubungan strategik yang kukuh antara SCCC dan pihak industri di China merupakan satu kelebihan yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya.

“Pengerusi, Datuk Frankie Liew, mempunyai hubungan yang erat dengan syarikat-syarikat di China, dan hubungan ini amat penting dalam membuka peluang kerjasama teknologi, pelaburan serta pembangunan kepakaran di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada SCCC yang melibatkan seramai 14 orang delegasi, diketuai oleh Presidennya, Datuk Frankie Liew, bersama Timbalan Presiden, Brett Chua.

James menekankan bahawa kementerian menyambut baik segala bentuk kerjasama strategik yang berpotensi dilaksanakan antara kedua-dua pihak, khususnya inisiatif yang melibatkan pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan serta penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selaras dengan agenda pembangunan negeri.

Beliau juga mengalu-alukan inisiatif, teknologi dan kepakaran dari luar negara, khususnya dari China, dalam memperkasakan industri teknologi serta latihan kemahiran di Sabah, termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Dalam pada itu, Brett memaklumkan bahawa China mempunyai beberapa teknologi berkaitan latihan TVET yang berpotensi untuk dikongsikan.

Namun katanya, Sabah ketika ini masih belum mempunyai platform yang sesuai untuk menerima dan melaksanakan teknologi tersebut sepenuhnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan lawatan ini sebagai satu titik permulaan yang penting ke arah merealisasikan kerjasama strategik dalam bidang TVET antara kedua-dua pihak.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …