OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi.
KOTA KINABALU: Sebanyak enam rumah di Kampung Ketiau, Putatan musnah dalam kebakaran awal pagi tadi berpunca daripada litar pintas menyebabkan 41 mangsa daripada 11 ketua isi rumah kehilangan tempat tinggal.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, panggilan kecemasan berkenaan kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.25 pagi selepas panggilan kecemasan diterima daripada seorang penduduk memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah rumah sebelum api merebak ke beberapa kediaman berhampiran.
Susulan laporan itu, seramai empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Putatan termasuk pemandu digerakkan ke lokasi pada jam 6.35 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.
Ketua skuad APM memaklumkan kekuatan anggota di lokasi melibatkan empat anggota APM Putatan dengan operasi pemadaman dan kawalan kebakaran diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut pegawai JBPM yang bertugas, keadaan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh singkat sekali gus mengelakkan api merebak ke kawasan penempatan lain.
Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Putatan dengan kekuatan dua anggota dan seorang pegawai menggunakan sebuah kenderaan MPV serta sebuah pacuan empat roda.
JBPM Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu menggerakkan seramai 28 anggota bersama beberapa aset termasuk dua jentera tangki air, dua CFRT, sebuah FRT dan sebuah EMRS.
APM Putatan pula menempatkan empat anggota bersama sebuah ambulans, manakala Tenaga Nasional Berhad Sabah Electricity menghantar dua anggota menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda bagi tujuan keselamatan dan pemutusan bekalan elektrik.
Setakat jam 7.45 pagi, anggaran jumlah rumah terlibat direkodkan sebanyak enam buah, manakala jumlah mangsa seramai 41 orang dengan data masih dalam proses pengemaskinian.
Tiada kecederaan serius dilaporkan setakat ini dan pihak berkuasa masih menjalankan penilaian lanjut bagi menentukan keperluan pembukaan pusat pemindahan sementara untuk mangsa terjejas.
Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Putatan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap risiko kebakaran, khususnya berkaitan pendawaian elektrik di kediaman masing-masing.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



