DBKK KOSONGKAN, ROBOH STRUKTUR HARAM DI SEMBULAN

BANCI: Tindakan bancian pengesahan status kelulusan bangunan, tahap keselamatan, kebersihan serta risiko persekitaran yang dilaksanakan di Sembulan.

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan tindakan pengosongan dan perobohan struktur tanpa kelulusan di kawasan Sembulan bermula awal Januari 2026.

Jurucakap DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu melibatkan struktur yang dibina tanpa kelulusan, struktur usang dan tidak selamat untuk didiami serta binaan yang luput tempoh pajakan.

“Langkah berkenaan diambil susulan pemeriksaan dan pemantauan berterusan oleh pihak Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah yang mendapati kewujudan penempatan dan struktur tanpa kelulusan, melanggar undang-undang kecil serta berada dalam keadaan tidak selamat, kotor dan tidak teratur.

“Kawasan ini juga dikenal pasti antara kawasan dengan kadar penularan wabak denggi tertinggi di daerah Kota Kinabalu, sekali gus menimbulkan risiko kepada kesihatan awam.

“Hasil bancian dan pemeriksaan teknikal mendapati terdapat struktur sementara dan kekal dibina tanpa mematuhi piawaian keselamatan, perancangan dan kebersihan yang ditetapkan, selain mencacatkan imej bandar raya, meningkatkan risiko keselamatan, kebakaran, pencemaran alam sekitar serta menjejaskan perancangan pembangunan yang sah,” katanya.

Tambahnya, hasil bancian turut merekodkan seramai 159 ketua isi rumah bukan warganegara menyewa di kawasan berkenaan yang majoritinya terdiri daripada pemegang dokumen perjalanan tidak sah.

“Selain itu, DBKK turut menerima aduan penduduk Kampung Sembulan berkaitan isu keselamatan dan kebersihan di kawasan terbabit.

“Pelaksanaan tindakan penguatkuasaan ini sebahagian daripada Projek Pembaharuan Bandar (Sembulan Renewal Scheme) yang bertujuan meningkatkan kualiti persekitaran bandar, keselamatan serta kesejahteraan penduduk ke arah pembangunan kawasan Sembulan yang lebih moden, teratur, bersih dan berdaya huni,” katanya.

Sebagai langkah awal katanya, DBKK melalui Jabatan Penguatkuasaan melaksanakan bancian penduduk dan struktur di kawasan terlibat dari 8 hingga 12 Disember lalu, diikuti bancian pengesahan status kelulusan bangunan, tahap keselamatan, kebersihan serta risiko persekitaran.

“Notis pengosongan, perobohan dan pengalihan dikeluarkan kepada pihak terlibat dari 18 hingga 22 Disember tahun lalu sebagai pemakluman awal dengan tempoh munasabah diberikan bagi pengosongan secara sukarela serta perobohan sendiri struktur tanpa kelulusan.

“Pendekatan perbincangan dan nasihat turut dilaksanakan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Ordinan Kerajaan Tempatan 1961, Undang-Undang Kecil Bangunan DBKK, Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Penjaja DBKK serta Undang-Undang Kecil Kebersihan dan Anti-Sampah Sarap DBKK,” katanya.

Menurutnya, DBKK menegaskan kegagalan mematuhi notis yang dikeluarkan, termasuk usaha menduduki semula kawasan atau mendirikan struktur baharu tanpa kelulusan, akan menyebabkan tindakan tegas diambil termasuk kompaun, pendakwaan, sitaan dan perobohan serta-merta tanpa notis lanjut.

“Pelaksanaan operasi dijalankan secara berperingkat, teratur dan berhemah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) , Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri Sabah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

“DBKK menyeru semua pihak terlibat supaya memberikan kerjasama penuh dan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kelancaran pelaksanaan tindakan penguatkuasaan berkenaan,” katanya.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

WANITA CEKAL JADI MALIM GUNUNG

KUALA TERENGGANU: Hujan, laluan licin, pacat, keletihan malah berdepan kepala air dan gajah bukan alasan bagi dua malim gunung wanita …

KENALI MALAYSIA KITA!

Malaysia bukan sekadar tanah tempat kita berpijak, tetapi penuh dengan sejarah, simbol dan identiti yang membentuk negara kita hari ini …

PROSES MEMBAWA KELUAR FAIL DARI PEJABAT SEMASA TEMPOH HARI BEKERJA HIBRID (HBH)

Pengurusan dan kawalan pergerakan fail merupakan elemen penting dalam memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti rekod kerajaan sentiasa terpelihara, khususnya semasa …