PRIHATIN: Jamawi (kanan) duduk bersama dan berbincang dengan keluarga yang ditempatkan di PPS.
TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkesempatan menziarah dan meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di daerah ini lewat malam Isnin.
Beliau melawat tiga PPS iaitu PPS Rumah Kebudayaan Kampung Ponontomon, PPS Rumah Kebudayaan Kampung Pantongan Saga dan PPS Rumah Kebudayaan Kampung Mandalom Lama di sini.
Menurutnya, ketiga-tiga PPS itu mula dibuka pada jam 3 petang kelmarin oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Tenom yang dipengerusikan Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.
“Bantuan-bantuan awal telahpun diberikan oleh Jabatan Kebajikan Tenom, Pejabat Parlimen Tenom, Pejabat Daerah Tenom, Pusat Khidmat Rakyat DUN Melalap serta agensi-agensi kerajaan yang lain.
“Pengagihan bantuan bakul makanan dan air minuman kepada semua mangsa banjir akan diteruskan,” katanya.
Jamawi ditemani Pegawai Daerah Tenom, Ketua Daerah Tenom, Timbalan Ketua Polis Daerah Tenom, kakitangan Jabatan Kebajikan Tenom, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kakitangan Pusat Khidmat Rakyat DUN Melalap semasa lawatan itu..
“Saya amat bersimpati dengan semua mangsa banjir yang terlibat. Semoga sentiasa tabah menghadapi dugaan bencana banjir ini. Saya akan usahakan membantu sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, Jamawi turut menasihati penduduk yang tinggal di kawasan terjejas terjejas banjir supaya sentiasa berhati-hati serta mematuhi arahan pihak berkuasa melalui Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Tenom.
“Penduduk yang tinggal di kawasan terjejas dinasihatkan untuk sentiasa memantau paras air dan akur dengan arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga. Keselamatan penduduk adalah keutamaan kami,” katanya.
BANTUAN: Para petugas dan semua yang terlibat siap sedia mengedarkan bantuan kepada keluarga yang terjejas akibat banjir.
Pada 4 Januari lepas, beberapa kampung yang terjejas telah menerima bantuan banjir bagi meringankan sedikit urusan seharian penduduk. Rombongan bantuan diketuai oleh Setiausaha Politik Jamawi, Herbert Roger London.
Antara kampung yang terjejas dengan banjir ialah Kampung Tumantalik, Kampung Pontomon, Kampung Pantogon Saga, Kampung Bulun, Kampung Binaie, Kampung Saga, Kampung Batu- Batu, Kampung Mandalom Lama dan Kampung Sri Menanti.
Jamawi berkata, bantuan akan diteruskan kepada semua penduduk yang terjejas di DUN Melalap yang masih belum menerima bantuan.
“Kami komited memastikan semua mangsa banjir mendapat bantuan secukupnya dan dapat meneruskan kehidupan dengan selamat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemantauan berterusan perlu dilakukan kerana hujan yang berterusan berpotensi meningkatkan paras air sungai, sekali gus menambah risiko banjir di kawasan rendah.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



