MELAKA PERLUAS PEMBERIAN VAKSINASI UNTUK KUMPULAN RENTAN

Seri Negeri – Kerajaan Negeri bercadang memperluaskan pelaksanaan program vaksinasi influenza bagi kumpulan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas menerusi jalinan kerjasama klinik swasta.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, cadangan itu antara beberapa pendekatan diambil bagi mengoptimumkan keberkesanan program kerjasama dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bersama pihak yang terbabit.

“Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah memperluaskan pelaksanaan program vaksinasi kepada kumpulan rentan seperti kanak-kanak di sekolah dan warga emas.

“Pertimbangan kepada penyediaan rawatan ubat antiviral seperti Tamiflu bagi kes-kes yang memenuhi kriteria penilaian klinikal yang ditetapkan turut dipertimbangkan menerusi kolaborasi bersama klinik swasta.

“Namun begitu program kolaborasi ini perlu diteliti dan dimuktamadkan sebagai dasar atau polisi rasmi di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” Katanya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu)
pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, cadangan untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama klinik swasta dilihat sebagai satu opsyen yang wajar dipertimbangkan bagi mempertingkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh.

“Untuk makluman, polisi utama KKM berhubung pengurusan influenza adalah berfokus kepada saringan, rawatan dan vaksinasi.

“Berkenaan dengan inisiatif Kerajaan Negeri ialah pemberian vaksinasi influenza secara percuma kepada golongan warga emas berusia 60 tahun keatas yang mempunyai penyakit kronik,” katanya.

Jelasnya, ubat antiviral seperti Tamiflu akan dikekalkan kepada pesakit yang memerlukan dan boleh didapati di fasiliti KKM namun begitu ia adalah terkawal dan bukan untuk semua pesakit.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

WANITA CEKAL JADI MALIM GUNUNG

KUALA TERENGGANU: Hujan, laluan licin, pacat, keletihan malah berdepan kepala air dan gajah bukan alasan bagi dua malim gunung wanita …

KENALI MALAYSIA KITA!

Malaysia bukan sekadar tanah tempat kita berpijak, tetapi penuh dengan sejarah, simbol dan identiti yang membentuk negara kita hari ini …

PROSES MEMBAWA KELUAR FAIL DARI PEJABAT SEMASA TEMPOH HARI BEKERJA HIBRID (HBH)

Pengurusan dan kawalan pergerakan fail merupakan elemen penting dalam memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti rekod kerajaan sentiasa terpelihara, khususnya semasa …