SINAR UNTUK NELAYAN KAMPUNG PASIR GEMBUR

Tanjung Bidara – Pengkalan Nelayan Kampung Pasir Gembur, Masjid Tanah, di sini, akan dinaik taraf menerusi pembinaan fasiliti baharu yang lebih tersusun.

Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara pada perjumpaan bersama komuniti nelayan kawasan berkenaan hari ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Pasir Gembur, Rosli Othman berkata, pengumuman itu adalah susulan daripada lawatan Ketua Menteri ke pengkalan berkenaan pada 5 September lalu.

“Alhamdulillah selepas turun padang melihat sendiri keadaan pengkalan kami, Ketua Menteri terus buat kerja kerana beliau sendiri secara peribadi berasa amat tidak senang dengan keadaan fasiliti sedia ada yang tidak tersusun. Sebelum ini kami ada suarakan cadangan kepada pihak berkenaan tetapi tidak ada noktah, tetapi apabila Ketua Menteri turun padang semuanya disegerakan.

“Berdasarkan perbincangan, Ketua Menteri memberikan penekanan terhadap dua aspek iaitu pembinaan balai nelayan dan garaj baharu demi keselesaan komuniti kami,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Perjumpaan itu turut dihadiri Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk Saifuddin Abdul Karim dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka, Ir. Mohd Adnan Ahmad Fauzi.

Terdahulu pada perjumpaan sama Ketua Menteri turut menyampaikan set dam aji untuk komuniti nelayan di kawasan berkenaan.

Rosli berkata, pengkalan nelayan itu dianggarkan sudah berusia lebih 40 tahun dan sudah tiba masanya struktur yang ada diganti baharu, sekali gus meningkatkan lagi motivasi dalam kalangan nelayan untuk keluar ke laut.

“Kami komuniti nelayan kawasan ini amat berterima kasih atas keprihatinan dan sikap cakna Ketua Menteri,” katanya.

Sementara itu bagi Mohd Helmi Sabtu berkata, apabila pembinaan kemudahan baharu siap kelak, kawasan itu akan menjadi lebih tersusun dan teratur serta memberikan keselesaan bukan sahaja kepada nelayan malah pengunjung serta pelancong datang dari luar.

Dia yang sudah tujuh tahun menjadi nelayan berkata, setiap kali hujung minggu atau cuti umum sepanjang pantai Pasir Gembur dipenuhi pengunjung yang mahu bersantai dan berkelah.

“Kerana tidak ada kawasan khusus semuanya diibaratkan bertaburan, tidak teratur, ada juga masanya pengunjung meninggalkan kenderaan berhampiran belai nelayan jadi menyulitkan kami untuk melakukan kerja.

“Jadi saya amat sokong pengumuman Ketua Menteri, secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi imej kawasan ini sebagai destinasi pelancongan. Bukan sahaja kemudahan baharu, pemandangan juga lebih sedap mata memandang,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …