Bandaraya Melaka – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) akan menambah baik kandungan pameran dengan melaksanakan usaha pengumpulan sejarah kesultanan dan kegemilangan Melaka.
“Hasrat disuarakan Ketua Menteri amat bagus, ia sealiran dengan hala tuju PERZIM pada tahun ini dan tahun hadapan.
“Memang kami bercadang untuk menambah baik muzium dengan informasi-informasi baharu yang sebelum ini belum pernah dipamerkan.
“Seperti disebut Ketua Menteri kami perlu mengangkat semula cerita atau warisan sejarah yang tidak dicatatkan khususnya kegemilangan dan kesultanan Melaka,” katanya.
Erne berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam ‘Tautan Kenangan Legasi Berpanjangan’ Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) di sebuah hotel di Jalan Bendahara, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama Timbalan Datuk Zaidi Attan; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Menurut Erne, justeru itu PERZIM perlu mengkaji atau menyelidik dengan lebih mendalam berkaitan fakta-fakta sejarah kesultanan Melaka.
“Dikatakan sekarang ini (muzium) banyak mengetengahkan atau mengangkat sejarah dan cerita berkaitan Portugis, Belanda termasuk British.
“Sudah dimaklumkan kepada PERZIM untuk kami menggali lebih dalam semua fakta-fakta sejarah yang berkaitan dengan kesultanan dan kegemilangan Melaka sebelum tahun 1511 iaitu sebelum Portugis tawan Melaka,” katanya.



