Jasin – Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka (MKN Melaka) telah mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Nelayan Kawasan Jasin dengan meninjau kawasan kelong dan panggar kupang sekitar kawasan Jasin.
Sesi ini merupakan inisiatif MKN Melaka dalam memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti nelayan serta meninjau sendiri keperluan dan isu semasa yang dihadapi oleh para nelayan setempat.
Objektif utama sesi libat urus ini adalah untuk:

Mendekati dan memahami secara langsung rutin harian, cabaran serta keperluan komuniti nelayan dalam memastikan kelangsungan sumber laut dan keselamatan kawasan perairan.

Memberi pendedahan berkenaan aspek keselamatan di laut termasuk persediaan menghadapi bencana, keselamatan hasil laut, dan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan oleh agensi berkaitan.

Mewujudkan saluran komunikasi yang lebih terbuka antara pihak kerajaan dan komuniti nelayan agar sebarang isu dapat ditangani secara bersama dan berkesan.

Menilai dan mengenal pasti lokasi-lokasi berpotensi risiko tinggi dalam aspek keselamatan, termasuk struktur kelong dan panggar kupang, bagi tujuan tindakan lanjut dan pelaporan.

Mengukuhkan jalinan kerjasama antara agensi keselamatan dan persatuan nelayan dalam menjayakan agenda keselamatan menyeluruh di peringkat komuniti.

MKN Melaka merakamkan penghargaan kepada Persatuan Nelayan Kawasan Jasin atas sambutan dan kerjasama yang diberikan, dan berharap sesi seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan dan kebajikan komuniti pesisir sentiasa terpelihara.

Turut hadir bersama Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Jasin, Puan Turina Mulo binti Haji Ab Kahar.