Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras melibatkan nilai sitaan keseluruhan termasuk cukai sebanyak RM5.48 juta dalam tempoh sebulan.
Menurut Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah, ia merupakan hasil operasi bersepadu yang dijalankan membabitkan empat serbuan dilakukan pada bulan Mei lalu di beberapa premis sekitar Klang dan Rawang, Selangor.Menurutnya, serbuan pertama dilakukan pada 5 Mei di sebuah gudang di kawasan perindustrian Kapar, Klang.
Pemeriksaan menemui 59,489 botol atau 20,527.30 liter minuman keras pelbagai jenama bersama label cukai palsu, pelekat botol, kotak pembungkusan minuman keras, botol kosong dan mesin pemampat botol. Nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM143,691.10, manakala anggaran cukai yang terlibat ialah RM1,404,712.07.
Serbuan kedua dilakukan pada 13 Mei di sebuah gudang di Taman Klang Utama, Klang telah menemukan 61,864 paket atau 1,110,628 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang disyaki sebagai barang larangan import tanpa permit sah. Nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM123,585.44, manakala cukai dianggarkan sebanyak RM745,373.02.
Satu lagi serbuan kemudiannya dilakukan di sebuah gudang di kawasan perindustrian Anugerah Suria, Rawang pada pada 19 Mei lalu. Pemeriksaan menemukan 143,600 paket atau 1,809,600 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dan saiz. Nilai sitaan mencecah RM246,144.00, manakala anggaran duti atau cukai ialah RM1,218,950.40.
Sumber: Sinar Harian