TAHNIAH: Christina (tengah) menyampaikan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) kepada Pegawai Daerah Semporna merangkap Pengerusi Penganjur, Alexander Liew.
SEMPORNA: Penganjuran Regatta Lepa Semporna ke-30 tahun ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memartabatkan warisan budaya serta memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya utama di negara ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, sambutan meriah acara itu bukan sahaja mencerminkan kekayaan tradisi etnik Bajau Semporna, malah turut memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh penganjuran acara kebudayaan seperti Regatta Lepa kerana ia bukan sahaja memperlihatkan keindahan warisan negeri, tetapi juga menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Antara sorotan utama edisi kali ini termasuk persembahan strategik oleh pasukan keselamatan yang berjaya menonjolkan kesiapsiagaan dan tahap keselamatan di Semporna sebagai destinasi pelancongan.
“Persembahan ini secara tidak langsung memberi keyakinan kepada pelancong bahawa Semporna adalah kawasan yang selamat dan bersedia menerima kehadiran pelawat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Regatta Lepa Semporna 2025 di sini, semalam.
Sementara itu katanya, penyertaan semula Lepa Tradisi yang menampilkan lapan perahu tradisional telah mencuri tumpuan ramai dan memberi nafas baharu kepada tradisi masyarakat Bajau Laut.
Katanya, ini satu perkembangan yang cukup membanggakan kerana usaha menghidupkan kembali Lepa Tradisi berjaya mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Regatta kali ini turut mencipta sejarah apabila program tarian IgalTon yang melibatkan lebih 1,500 peserta berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book of Records sebagai tarian Igal-Igal terbesar yang pernah diadakan.
“Lebih membanggakan, pelancong luar negara turut serta dalam program ini, menjadikan ia simbol perpaduan budaya yang sebenar,” katanya.
Menurutnya, dalam usaha memperluaskan pengaruh warisan budaya, satu lagi inisiatif julung kali diadakan iaitu Simposium Busana Tradisi Bajau yang menjadi platform kepada golongan beliawanis untuk meneroka bidang pembuatan pakaian tradisional.
“Kita mahu belia, khususnya wanita muda, melihat bidang ini bukan sekadar warisan tetapi juga peluang ekonomi dalam industri pelancongan dan kreatif,” katanya.
Sehubungan itu, Christina menegaskan kementeriannya akan terus memperkukuh usaha menjadikan Sabah sebagai pusat pelancongan budaya melalui penglibatan masyarakat dan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi serta penggiat industri.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online