Polis mengesahkan seorang daripada enam pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jelebu yang melarikan diri dari pusat berkenaan semalam, berjaya ditangkap semula pagi tadi. Menurut Ketua Polis Daerah Jelebu, Superintendan Azizan Said, pelatih terbabit ditangkap di kawasan berhampiran sebuah kilang iaitu kira-kira lima kilometer dari pusat pemulihan berkenaan.
Usaha mengesan lima lagi pelatih PUSPEN yang melarikan diri itu terus giat dilakukan. Pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 1 tengah hari semalam sebelum melancarkan operasi mengesan dan menangkap pelatih berkenaan.
Operasi mengesan pelatih yang melarikan diri itu turut dibantu unit anjing pengesan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Jelebu di talian 066136222 atau 066137999. Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan. Semua pelatih PUSPEN yang masih bebas itu berusia antara 20-an hingga 40-an.
Sumber: Berita Harian