Segelintir pengusaha kenderaan sekolah dikesan menjalankan operasi tanpa permit sah, termasuk mengubah suai van persendirian menjadi van sekolah, sekali gus berisiko menjejaskan keselamatan murid. Perkara ini terbongkar hasil Operasi Van Haram yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh Negeri Sembilan, semalam.
Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, dalam operasi yang bermula jam 5 pagi hingga jam 3 petang itu, sebanyak 26 van dikesan beroperasi tanpa permit. Operasi ini dilancarkan sebagai tindak balas kepada aduan awam dan risikan mengenai peningkatan aktiviti van persendirian yang digunakan secara haram untuk tujuan komersial.Terutamanya bagi mengambil dan menghantar pelajar sekolah. Aktiviti ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengundang risiko besar terhadap keselamatan penumpang.
Sepanjang operasi khas yang dijalankan di daerah tumpuan termasuk Seremban, Rembau, Kuala Pilah, dan Jempol, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 57 kenderaan yang disyaki beroperasi sebagai van haram. Keseluruhannya, sebanyak 55 notis saman JPJ(P)22 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Lebih tegas lagi, sebanyak 18 van disita mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk siasatan lanjut. Kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dengan 26 kes.
Kebanyakan kesalahan ini membabitkan van persendirian yang diubah suai dan digunakan untuk mengangkut penumpang bagi tujuan komersial tanpa permit yang sah. Selain itu, sebanyak 10 kes dikesan bagi kesalahan LKM tamat tempoh, manakala lapan kes membabitkan tiada perlindungan insurans. Turut dikesan ialah enam kes membabitkan sijil pemeriksaan PUSPAKOM tamat tempoh, yang menimbulkan persoalan tahap keselamatan kenderaan itu.
Dari segi kelayakan pemandu pula, sebanyak empat kes dikesan bagi kesalahan memandu tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan satu (1) kes bagi Lesen PSV yang sudah tamat tempoh.
Sumber: Buletin TV3