SUSPEK
TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas didapati menggunakan dokumen pengenalan milik orang lain dalam satu pemeriksaan di pusat bandar di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Tawau yang sedang menjalankan rondaan bit di kawasan awam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan, sebelum pemeriksaan dilakukan terhadapnya.
Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan, suspek hanya mengemukakan sijil lahir, MyKad dan lesen memandu untuk semakan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati maklumat pada dokumen berkenaan tidak sepadan dengan identiti suspek.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu menggunakan dokumen milik individu lain dan dipercayai bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, semakan melalui sistem iPRS turut mengesahkan MyKad yang digunakan suspek pernah dilaporkan hilang sebelum ini.
“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan semua dokumen terbabit turut dirampas bagi tujuan siasatan.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memiliki atau menggunakan kad pengenalan orang lain,” katanya
Sementara itu, Jasmin menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak cuai dalam menjaga dokumen pengenalan diri masing-masing bagi mengelak disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.
“Sekiranya kehilangan dokumen seperti MyKad, orang ramai dinasihatkan segera membuat laporan polis dan memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengelakkan penyalahgunaan identiti,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online